Harapandaily
AMANAH menyambut baik penubuhan Sekretariat Musyawarah hasil pertemuan lapan parti politik berteraskan Melayu dan Islam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki itu merupakan satu langkah yang wajar dihargai dalam usaha membuka ruang dialog antara parti-parti politik.
Menurutnya, walaupun terdapat pelbagai pandangan politik, platform tersebut penting untuk mengemukakan agenda membina masyarakat Melayu Bermaruah melalui pendekatan politik nilai.
“Melayu Bermaruah ialah Melayu yang yakin dengan jati diri dan nilai Islam, berintegriti dalam kepimpinan, berani menegakkan kebenaran serta memajukan bangsa melalui ilmu, kecekapan dan tadbir urus yang bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan masyarakat Melayu maju dengan keyakinan dan tidak mudah diperdaya oleh naratif Melayu terancam yang sering digunakan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
Dijamin Perlembagaan
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan menambah tidak ada sebab masyarakat hidup dalam politik ketakutan dan kebencian dalam keadaan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera yang terpelihara serta dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa politik seharusnya digerakkan secara positif bagi membina masyarakat dan memimpin ke arah kebaikan bersama, selaras dengan nilai Islam yang rahmah.
“Melayu yang bermaruah tidak dibina dengan politik ketakutan, tetapi dengan keyakinan diri, ilmu dan kematangan berfikir.
“Apabila jiwa Melayu dibina dengan emosi dan ketakutan, mereka mungkin patuh tetapi tidak berfikir, setia tetapi tidak berdaya saing, serta lebih cenderung menyalahkan pihak lain berbanding memperbaiki diri,” katanya.
Sehubungan itu, AMANAH, kata Khalid, melihat ruang dialog seperti musyawarah tersebut sebagai langkah positif untuk memperkukuh persefahaman serta mencari titik persamaan antara parti-parti politik.
“Usaha memperkasakan umat Islam dan masyarakat Bumiputera perlu digerakkan berasaskan nilai, idea, dasar serta penyelesaian yang konstruktif, bukannya melalui sentimen emosi atau pendekatan perkauman sempit yang akhirnya hanya memecah-belahkan masyarakat,” ujarnya.
Dalam masa sama, Khalid turut berharap pertemuan tersebut tidak berakhir setakat itu, sebaliknya diteruskan dan diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak parti politik bagi membina budaya politik yang lebih inklusif, matang dan beradab di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan