Alyaa Alhadjri
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin hari ini memecah kebisuan mengenai perancangan politik seterusnya selepas dipecat sebagai timbalan presiden Bersatu dan disingkirkan daripada parti itu.
Ahli Parlimen Larut itu mengesahkan wujud perbincangan berhubung kemungkinan mengambil alih satu entiti politik yang dilaporkan dinamakan Parti Keluarga Malaysia, dengan menyatakan rundingan tersebut masih pada peringkat teknikal.
“Berbincang dengan mereka bagaimana kalau kami ambil-alih parti tersebut. Ada perbincangan,” katanya ketika diminta mengesahkan laporan Berita Harian yang memetik pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya.
Khairi dilaporkan mendakwa pengambilalihan itu “hampir 90 peratus pasti” berdasarkan perbincangan terkini dengan Hamzah dan ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Bagaimanapun, Hamzah tidak memberikan kata putus mengenai perkara itu.
“Ia melibatkan banyak perkara lain, jadi kita sedang berbincang,” tambahnya ketika ditemui pemberita di bangunan parlimen.
Apabila diajukan soalan lanjut, Hamzah memberi bayangan bahawa isu perlembagaan dan prosedur menjadi pertimbangan utama.
“Itulah soal teknikalnya. Sebab dari segi perlembagaan dan lain-lain,” katanya.
Ketika ditanya jika dia akan mengambil alih jawatan presiden sekiranya pengambilalihan itu menjadi kenyataan, Hamzah berseloroh: “Boleh ke saya jadi presiden?”
Semakan Malaysiakini tidak menemui mana-mana parti bernama Keluarga Malaysia atau nama seumpamanya dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Hamzah dipecat daripada Bersatu pada 13 Feb susulan perebutan kepimpinan sengit dengan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Sehari kemudian, Hamzah melancarkan gerakan “Reset” yang setakat ini mencetuskan peletakan jawatan beramai-ramai dalam kalangan pemimpin peringkat bahagian di seluruh negara.
Sejak Oktober, lima lagi ahli parlimen yang berpihak kepada Hamzah turut dipecat daripada Bersatu — Wan Saiful Wan Jan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Saifuddin Abdullah, Fathul Huzir Ayob dan Azahari Hasan.
Tiga belas ahli parlimen Bersatu yang masih berbaki, diketuai Naib Presidennya Ronald Kiandee turut menegaskan sokongan agar Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan