Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

PASUKAN forensik menjalankan siasatan malam tadi di lokasi kejadian. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Seorang penduduk mendakwa melihat tiga individu mencurigakan termasuk dua wanita berpakaian seksi menaiki kenderaan pacuan empat roda di lokasi penemuan mayat reput berbungkus tilam di Kampung Padang, Pokok Mangga, semalam.
Lelaki mahu dikenali sebagai Ikhwan, 43, itu berkata, dia terserempak tiga individu terbabit ketika membeli barangan di sebuah kedai perkakasan yang terletak di tingkat bawah deretan bangunan rumah kedai itu sekitar jam 4 petang.
"Saya lihat dua wanita usia 20-an yang berpakaian seksi dan memakai pelitup muka naik ke tingkat rumah kedai itu sebelum bergegas turun tidak lama kemudian.
"Mereka kemudian menaiki kenderaan pacuan empat roda itu yang dipandu lelaki memakai pelitup muka dan beredar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Ikhwan berkata, dia kemudian menceritakan tingkah laku pelik kedua-dua wanita itu kepada pemilik kedai perkakasan berkenaan sebelum dikejutkan dengan berita penemuan mayat pada sebelah malam.
Sementara itu, pemilik kedai perkakasan terbabit turut mengesahkan bahawa pelanggan berkenaan ada menceritakan perkara itu kepadanya.
"Setahu saya rumah kedai itu kerap bertukar penyewa dan saya tidak perasan apa-apa perkara yang pelik atau terhidu bau busuk walaupun kerap lalu lalang di bawah untuk ke kedai serbaneka," katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan tempat kejadian lengang dan pintu masuk ke unit rumah kedai berkunci, manakala dua tingkap kelihatan terbuka.
Seorang lagi penduduk di unit bersebelahan yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui penyewa terbaru di rumah tempat kejadian adalah dua lelaki, namun tidak mengenali mereka.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan mengenai kejadian dan penahanan seorang suspek lelaki bagi membantu siasatan kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan