"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan, nahas tiga maut: Majlis akikah cucu bertukar kenduri tahlil

ROHANA MOHD. NAWI
Ahli keluarga membawa jenazah Nur Nuha Helena ke Tanah Perkuburan Bidan Sari, Kampung Kok Bedullah, Tumpat hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI
TUMPAT – Seorang buruh terkilan kerana tidak sempat mengadakan majlis akikah buat cucunya selepas bayi berusia enam bulan itu maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh, Kuala Krai semalam.

Kemalangan pada pukul 6.50 pagi itu turut meragut nyawa isterinya, Safinaz Razmi, 52, yang disahkan maut di lokasi kejadian, manakala anaknya, Jasmin Lyana Mohd. Jamil, 22, dan cucu, Nur Nuha Helena Abd. Matin meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.

Mohd. Jamil Hussin, 53, berkata, arwah isterinya berada di rumah anak dan menantunya, Muhamad Danial Darwish Che Hasmadi, 23, di Kuala Lumpur sejak seminggu lalu.

Katanya, arwah Jasmin dan menantu meminta bantuan isterinya bagi urusan pemeriksaan kesihatan cucu mereka sebelum empat sekeluarga tersebut pulang ke Kampung Kok Bedullah di sini bagi menyambut Aidiladha.

“Saya dan arwah isteri sudah merancang untuk mengadakan majlis akikah Nur Nuha Helena pada Hari Raya Aidiladha pertama iaitu hari mereka bertiga meninggal dunia semalam.

“Saya mengambil satu bahagian lembu korban untuk akikah, namun hasrat ini tidak kesampaian kerana mereka bertiga menemui ajal dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bidang Sari, Kampung Kok Bedullah hari ini.

Terdahulu, jenazah tiga sekeluarga itu selamat dikebumikan di dalam satu kubur pada pukul 8.15 pagi tadi dalam upacara yang dihadiri hampir 100 ahli keluarga.

Mohd. Jamil berkata, arwah isterinya sebelum ini menghubunginya dan meminta supaya membeli ayam goreng KFC kerana dia teringin untuk menjamah hidangan tersebut sebaik tiba di rumah dari Kuala Lumpur.

Cerita lelaki itu, dia sudah membelikan ayam goreng tersebut kelmarin sebelum menerima panggilan daripada seorang penduduk pada pukul 7 pagi semalam yang memaklumkan kereta dinaiki isteri, anak, menantu dan cucu terlibat dalam kemalangan.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi walaupun kehilangan tiga ahli keluarga serentak,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia enam bulan maut dalam nahas melibatkan sebuah kereta yang bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh.

Siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan MPV di laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: