Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my

ANGGOTA bomba mengumpul maklumat sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang di Padawan. IHSAN JBPM
Kuching: Disangka hilang, rupa-rupanya tertidur di tepi mesin basuh rumah jiran.
Itu yang berlaku kepada seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Sira, di Padawan, awal pagi tadi.
Kehilangan mangsa mencetuskan kebimbangan ahli keluarga sebelum mereka mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk mengesannya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.39 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, dua anggota bersama pikap Toyota Hilux tiba di lokasi pada jam 5.14 pagi bagi menjalankan operasi pencarian.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang juga abang ipar kepada pengadu menghadiri majlis perkahwinan di gereja di kampung berkenaan malam tadi sebelum dilaporkan hilang.
"Selepas selesai makan dan minum di majlis itu, mangsa dikatakan keluar untuk membuang air kecil sebelum gagal dikesan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kemudian mengambil maklumat berkaitan kehilangan mangsa.
"Selepas maklumat dikumpul, anggota bomba bersedia melancarkan operasi pencarian bersama polis, ahli keluarga serta penduduk kampung.
"Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemui penduduk kampung dalam keadaan selamat kira-kira jam 6 pagi selepas didapati sedang tertidur di sebelah mesin basuh di rumah jiran," katanya.
Menurutnya, selepas pemeriksaan dilakukan dan mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan, operasi ditamatkan pada jam 6.09 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan