"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

72 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu atas pelbagai kesalahan

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seramai 72 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di beberapa premis dan medan selera di bandar raya ini kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu dijalankan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan ini bertujuan mengesan serta membanteras kehadiran warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, ia juga bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

Katanya, operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen berterusan agensi-agensi penguat kuasa dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan, memelihara ketenteraman awam serta memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara.

"Operasi yang dijalankan serentak diatas beberapa premis menjual makanan berjaya mengesan kehadiran warga asing yang bekerja tanpa pas yang sah serta menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial.

"Pemeriksaan menyeluruh turut dijalankan ke atas pekerja dan majikan.

"Hasil pemeriksaan awal, seramai 72 pekerja asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki dewasa warga Myanmar, empat lelaki dewasa warga Indonesia, tiga lelaki dewasa warga Vietnam, 37 perempuan dewasa warga Vietnam, seorang perempuan dewasa warga China dan 10 perempuan warga Indonesia bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak.

Menurutnya, mereka berusia dalam lingkungan 19 tahun hingga 46 tahun.

"Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Sebanyak 5 keping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, JIM akan terus mempergiatkan operasi daripada semasa ke semasa tanpa mengira lokasi dan waktu bagi mengesan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

"JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan dan memastikan keselamatan serta Intergriti negara terus terpelihara," katanya.

Tiada ulasan: