‘Kami masih dalam PN’, pemimpin PAS ingatkan Bersatu jangan gelojoh
Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS mengingatkan Bersatu tidak terlalu gelojoh merebut jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang kini digalas Ahmad Samsuri Mokhtar memandangkan ia masih dalam gabungan itu.
Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad, berkata pendirian parti itu juga masih kekal dalam PN buat masa ini.
“Kenyataan semalam hanya menyatakan PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu. PAS belum lagi keluar PN.
“Tidak payahlah gelojoh sangat hendak merebut jawatan pengerusi PN. Dr Sam masih pengerusi. Orang Melayu adalah bangsa yang berbudaya dan beradab, ikutlah tertib jika mahukan sesuatu,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin, mendesak kepengerusian PN dikembalikan kepada Muhyiddin Yassin selepas PAS memutuskan kerjasama dengan partinya.
Beliau turut menyifatkan presidennya mempunyai kredibiliti untuk membawa agenda penyatuan Melayu yang inklusif.
Kenyataan Afif disokong Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, yang menyifatkan tindakan Samsuri ‘menghilangkan diri’ dalam menjawab beberapa isu penting sebagai tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan PN dilihat tidak efisien serta lambat bertindak balas terhadap perkembangan politik semasa.
Mengulas lanjut, Iskandar turut mempersoalkan kemampuan Bersatu menyatukan orang Melayu sedangkan parti itu sedang menghadapi perpecahan selepas pemecatan Hamzah Zainudin dan penggantungan beberapa pemimpin serta wakil rakyat.
“Bersatu tak perlu komen tentang prestasi Dr Sam selama tiga bulan jadi pengerusi tetapi lihat prestasi Muhyiddin sepanjang menjadi pengerusi PN.
“Saya tidak nampak usaha penyatuan ummah yang menyerlah bawah Muhyiddin, malah kita hanya lihat krisis seperti berlaku di Perlis. PN sepatutnya menyelesaikan masalah itu, bukan membiarkan Adun menjatuhkan menteri besar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan