Hafidzul Hilmi Mohd Noor
KUALA LUMPUR: Suspek warga asing yang menjadi buruan antarabangsa kerana disyaki mendalangi serangan bom kereta api di negara asalnya ditahan Bahagian NCB/Interpol (D12) Bukit Aman.
Berdasarkan laporan Harian Metro yang memetik sumber, suspek yang bersembunyi di ibu negara sejak April lalu, dilaporkan sudah diserahkan kepada Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur hari ini bagi proses penghantaran pulang (deportasi).
“Hasil risikan intensif dan kerjasama maklumat antarabangsa, unit D12 Interpol Bukit Aman berjaya mengesan kedudukan suspek di sekitar Kuala Lumpur dan melancarkan serbuan bagi menahannya.
“Suspek berjaya ditahan dan kini diserahkan secara rasmi kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan dokumentasi dan deportasi,” katanya.
Sebelum ini, suspek dikehendaki oleh pihak berkuasa India berhubung insiden letupan bom jenis Peranti Letupan Rekaan (IED) yang menyasarkan landasan kereta api utama di daerah Patiala, Punjab, pada akhir April lalu.
Serangan itu menjejaskan laluan logistik komersial yang kritikal serta mencetuskan ancaman keselamatan nasional tinggi di negara berkenaan.
Sejurus selepas agensi keselamatan India memulakan operasi memburu dalang, suspek dikesan bertindak melarikan diri ke luar negara dengan menggunakan identiti palsu.
Suspek dipercayai menyusup masuk ke Malaysia pada penghujung April dan menyembunyikan diri di sekitar kawasan Lembah Klang bagi mengelak daripada dikesan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Setakat ini, suspek masih berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“JIM akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya suspek diserahkan kepada jabatan ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan