"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adun Kok Lanas kata PAS akan terajui PN tanpa Bersatu

N Faizal Ghazali

Seorang Adun Kelantan yang juga penyokong bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin berpandangan PAS akan terus menerajui Perikatan Nasional (PN) tanpa Bersatu.

Adun Kok Lanas Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, dari sudut kepentingan dan strategi, PN lebih penting kepada PAS berbanding kepada Bersatu.

“Saya berpandangan PAS tidak akan melepaskan PN kepada Bersatu kerana kepentingan tersebut. Pada masa yang sama team (pasukan) Reset Hamzah bersedia pada bila-bila masa untuk mengisi kekosongan sekiranya Bersatu tidak lagi bersama PN,” katanya yang berkongsi pandangan peribadi dengan Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya pendapatnya mengenai sama ada PAS akan terus berada dalam PN selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga turut menegaskan akan mempertahan gabungan itu.

Dilema itu hadir selepas PAS memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan dijangka akan bekerjasama dengan pasukan Hamzah yang mempunyai sekitar 19 ahli Parlimen lain.

Pendirian Muhyiddin untuk mempertahankan PN itu mungkin menimbulkan pertikaian atau kemelut baru iaitu perebutan gabungan itu sendiri.

Walaupun didaftarkan oleh Muhyiddin, pentadbiran PN kini boleh dianggap berada di tangan PAS kerana kebanyakan jawatan utamanya dikuasai pemimpin parti tersebut, termasuk jawatan pengerusi yang dipegang Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut pula dijadualkan mengadakan konvensyen Reset Malaysia yang akan berlangsung di Tanah Merah, Kelantan, pada Sabtu ini dan berkemungkinan akan mengumumkan parti barunya.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa PAS Annuar Musa turut memberi isyarat parti itu akan terus menguasai gabungan PN bersama parti komponen lain.

Katanya, satu musyawarah (perbincangan) antara partinya bersama Gerakan dan MIPP sudah diatur dan disegerakan.

Mengulas lanjut, Mohamed Farid yang dipecat Bersatu kerana menyokong gerakan Hamzah itu berkata dia beranggapan PAS akan mempertahankan PN sedaya mungkin berdasarkan kedudukan Ahmad Samsuri sebagai pengerusi PN dan ketua pembangkang.

Tambah timbalan speaker DUN Kelantan itu, PAS juga sedar bahawa Bersatu berada dalam keadaan yang cukup sulit susulan situasi semasa.

“Dalam keadaan sedemikian, Bersatu sepertinya mahu menggunakan PN sebagai satu ‘vehicle’ untuk memenangi seberapa banyak kerusi dalam PRU ke-16 nanti, sedangkan langkah Bersatu seterusnya adalah untuk bekerjasama dengan PH, selepas PRU tersebut.

“Gerakan dan perancangan ini seperti sudah dihidu dan dibaca oleh PAS. Sekiranya ini berlaku, PAS akan berhadapan dengan satu kemelut dalaman PN yang lebih sulit untuk dirungkai, berasaskan sejarah PAS dan PH termasuk DAP,” dakwanya.

Tiada ulasan: