Amin Ishak
PAS berdepan persoalan besar tentang siapa rakan politik paling sesuai selepas putus kerjasama politik dengan Bersatu.
Lagu bertema persahabatan selalunya berbicara tentang setia kawan yang tulus iaitu sahabat hadir ketika susah, menghulur tangan saat lemah dan tidak pergi dalam apa jua keadaan sekali pun.
Seperti contoh Dalam lagu ‘Teman Sejati’ nyanyian kumpulan Brothers, persahabatan digambarkan sebagai ikatan lahir daripada keikhlasan dan kesetiaan.
Namun dalam politik, makna ‘teman’ jarang seindah lirik lagu. Persahabatan politik tidak hanya dibina atas kesetiaan tetapi juga atas pengiraan kuasa, kerusi, pengaruh dan peluang untuk terus hidup.
Hari ini lawan boleh menjadi kawan, esok kawan boleh menjadi beban dan apabila kepentingan berubah, lagu persahabatan yang merdu boleh bertukar menjadi irama perpisahan.
Itulah dilema PAS sejak ditubuhkan pada 1951. Parti itu terus mencari teman politik yang dapat membawanya lebih jauh dalam medan kuasa, tetapi sejarah menunjukkan tiada persahabatan politiknya benar-benar kekal.
PAS bersama Umno, MCA dan MIC pernah menjadi pengasas bersama Barisan Nasional (BN) pada 1974 sebelum berpisah tiga tahun kemudian. Pada 1989, PAS bekerjasama dengan Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, yang hanya bertahan sehingga 1996.
Krisis politik pasca pemecatan Anwar Ibrahim daripada Umno dan Kabinet pada 1998 pula membawa kepada penubuhan Barisan Alternatif. Ketika itu PAS buat kali pertama bekerjasama dengan DAP dalam satu gabungan pembangkang yang lebih tersusun. Namun kerjasama itu juga tidak kekal lama.
Hubungan PAS dengan parti lain paling diingati pastinya selepas pilihan raya umum 2008, apabila kerjasama tidak rasmi dengan PKR dan DAP berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, selain merampas pentadbiran Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
Kejayaan itu membawa kepada penubuhan Pakatan Rakyat pada 1 April 2008. Namun seperti banyak kisah persahabatan politik PAS sebelum itu, hubungan tersebut akhirnya retak dan berakhir pada Jun 2015.
Selepas PRU14 menyaksikan BN hilang kuasa pusat buat kali pertama, PAS dan Umno bergerak di bawah Muafakat Nasional (MN) pada 2019. Naratif penyatuan ummah ketika itu cukup kuat yang menggambarkan seolah-olah PAS akhirnya menemui rakan paling serasi dalam medan politik Melayu-Islam.
Tetapi MN juga tidak sempat berkembang menjadi pakatan pilihan raya yang benar-benar kukuh. Penubuhan Perikatan Nasional (PN) pada 2020 mengubah semula percaturan. PAS memilih untuk bersama Bersatu dalam gabungan baharu yang kemudian menjadi kenderaan utama pembangkang Melayu-Islam selepas PRU15.
Keputusan PAS yang memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu mungkin menyebabkan parti itu keluar lagi daripada kerjasama, iaitu kali ketujuh.
Siapa selepas ini?
Timbul persoalan siapa pula teman PAS selepas ini?
Ini bukan soal kecil kerana berkait hala tuju PAS untuk menghadapi pilihan raya akan datang termasuk medan terdekat seperti PRN Johor dan Negeri Sembilan jika kedua-duanya menjadi ujian awal kepada penjajaran baharu politik pembangkang.
Johor dan Negeri Sembilan bukan Kelantan, Terengganu atau Kedah. Di negeri-negeri itu, PAS tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan tradisi pengundi Melayu konservatif. Demografi lebih bercampur, budaya politik lebih pelbagai dan pengundi lebih menilai soal kestabilan, ekonomi, pentadbiran serta keyakinan terhadap gabungan yang mahu mengambil alih kerajaan.
Di sinilah PAS perlu membuat pilihan yang lebih jelas. Parti itu tidak boleh lagi sekadar mencari rakan yang mampu menambah jumlah kerusi dalam rundingan pembahagian kawasan.
PAS memerlukan rakan yang dapat membantunya kelihatan lebih nasional, lebih sederhana dari segi pendekatan, dan lebih mampu meyakinkan pengundi di luar kelompok penyokong tegar.
Pada PRU15, PAS memenangi 43 kerusi Parlimen yang dianggap pencapaian terbesar dalam sejarah parti itu dan menjadikannya parti tunggal dengan jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rakyat ketika ini.
Namun kejayaan itu juga mendedahkan kekuatan PAS masih tertumpu di kawasan majoriti Melayu-Islam. Di kerusi bercampur, pengaruhnya belum cukup melebar.
Selagi kelemahan itu tidak diatasi, PAS mungkin kuat sebagai parti blok Melayu, tetapi belum tentu cukup meyakinkan menjadi teras kerajaan pusat secara menyeluruh.
Jika PAS benar-benar mahu kembali ke Putrajaya, ia perlu berbuat demikian dengan status pemenang pilihan raya, bukan sekadar sebagai parti yang menunggu pintu kuasa terbuka melalui rundingan pasca pilihan raya.
PAS tentu sedar akan hal ini. Sebab itu pemilihan rakan menjadi sangat penting. Ini kerana rakan politik betul boleh membantu menonjolkan imej lebih luas.
Rakan yang salah pula boleh mengukuhkan lagi persepsi PAS hanya selesa bercakap kepada kelompok yang sudah pun menyokongnya.
Sediakah PAS ubah pendekatan?
Persoalannya, adakah PAS bersedia mengubah pendekatan bagi menarik sokongan bukan Islam? Atau setidak-tidaknya mengurangkan kebimbangan mereka terhadap parti itu?
Ini bukan bermakna PAS perlu meninggalkan prinsip asas perjuangannya. Tetapi parti yang mahu memimpin negara majmuk perlu tahu membezakan antara ketegasan prinsip dengan kekakuan pendekatan. Bahasa politik yang sesuai di kubu sendiri belum tentu berkesan di kawasan bercampur atau meraih undi kelompok atas pagar.
Dalam konteks ini, pandangan bekas pemimpin PAS, Khairuddin Aman Razali, wajar diberi perhatian. PAS mungkin perlu mengubah ragam politiknya dan tidak terlalu mudah merajuk apabila keputusan dalam sesuatu gabungan tidak memihak kepadanya.
Jika PAS mahu menjadi parti nasional yang benar-benar berpengaruh, ia perlu dilihat matang dalam membuat keputusan. Meninggalkan rakan politik bukan kesalahan jika hubungan itu tidak lagi memberi manfaat.
Tetapi jika terlalu kerap keluar masuk gabungan juga boleh menimbulkan persoalan tentang kestabilan, kesetiaan dan keupayaan PAS mengurus perbezaan.
Kini muncul pula spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama semula PAS dan Umno. Kedua-duanya pernah membina naratif penyatuan ummah yang kuat selepas PRU14, terutama ketika berkongsi kedudukan sebagai blok yang tercabar oleh perubahan politik nasional.
Namun politik hari ini tidak sama seperti 2019. Umno kini berada dalam kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) manakala PAS masih di blok pembangkang.
Hubungan peribadi pemimpin, kepentingan negeri, tekanan akar umbi dan pengiraan kerusi menjadikan sebarang usaha menghidupkan semula MN jauh lebih rumit daripada sekadar mengulang slogan lama.
Jika matlamat PAS hanya mahu memperkukuh penguasaan di kawasan majoriti Melayu, kerjasama dengan Umno mungkin ada logiknya. Tetapi jika cita-citanya memimpin Malaysia secara lebih luas, PAS memerlukan formula lebih besar.
Apa pun pilihannya, PAS perlu berhenti melihat rakan politik hanya sebagai alat sementara untuk menang kerusi. Jika tidak PAS akan terus dilihat sebagai parti yang sentiasa mencari teman baharu apabila perjalanan menjadi sukar.
Dalam lagu persahabatan, teman sejati hadir kerana ikhlas tetapi politik pula ada kalanya hadir kerana kepentingan yang saling menguntungkan.
Dalam politik sedikit bantuan daripada rakan memang penting. Tetapi bagi PAS teman itu bukan sekadar ketika pilihan raya tetapi yang mampu membawanya ke peringkat selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan