"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas timbalan speaker DUN Kedah ditemukan lemas di sungai

Bernama

Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Datuk Mohd Jamil Md Idross, 78, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Teluk Bagan di Jalan Tandop dekat Alor Setar pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali dalam kenyataan hari ini berkata mayat mangsa ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Setar pada 8.10 pagi tadi, kira-kira 50 meter dari lokasi dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Terdahulu, ahli keluarga memaklumkan kali terakhir melihat arwah kira-kira 11.30 malam semalam, dan sekitar 5 pagi tadi, mereka menyedari arwah tiada di rumah sebelum menemukan seliparnya berhampiran sungai dan mengesyaki warga emas itu terjatuh.

Syed Basri berkata laporan polis dibuat pada 7.18 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Siasatan awal mendapati mangsa baharu keluar dari hospital kira-kira sebulan lepas dan mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk diabetes serta tekanan darah tinggi. Allahyarham juga pernah menerima rawatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

Syed Basri berkata mangsa tinggal bersama isteri dan dua anak perempuannya berusia 29 serta 27 tahun dan keluarga memaklumkan mangsa tidak mempunyai sejarah kemurungan atau masalah psikiatri.

Beliau berkata polis turut mendapati rutin harian mangsa adalah mengalihkan kenderaan miliknya dari dalam kawasan rumah ke bahagian luar rumah yang terletak berhampiran sungai.

“Sebuah Perodua Kancil berwarna putih dipercayai telah dialihkan oleh mangsa sebelum kejadian dan ditemukan berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian.

Allahyarham Mohd Jamil adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor mewakili UMNO dan pernah berkhidmat bagi penggal 1995 hingga 1999 serta 2004 hingga 2008.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah ke-14 dan memegang jawatan itu dari 2018 hingga 2023.

- Bernama

Tiada ulasan: