FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Noh Omar mengumumkan kembali ke pangkuan Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau tertarik dengan prinsip pegangan Umno dan BN Johor, selain hujah yang disampaikan oleh Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.
“Saya juga yakin, InsyaAllah dalam PRN16 nanti, Umno akan mempunyai prinsip yang sama, tidak akan bersama dengan DAP,” katanya, lapor Sinar Harian.
Noh turut mendedahkan beliau sudah meletak semua jawatannya dalam Bersatu, seterusnya keluar parti, menjelaskan keputusan itu dibuat setelah mendapati parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu tidak menghormati prinsip dan keputusan yang ditetapkan oleh MPT.
“Saya memang sudah letak jawatan dan keluar Bersatu, jadi saya ingat tidak perlu tulis surat, saya dah isytihar perkara itu, jadi secara automatik, saya sudah keluar,” katanya.
Dalam pada itu, Noh menzahirkan harapan agar Umno kembali menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam usaha menyatukan masyarakat Melayu di negara ini.
“Saya yakin kalau Umno dengan PAS boleh bersama, mereka boleh tubuhkan kerajaan tanpa perlukan bantuan daripada parti-parti lain,” katanya.
Sebelum ini, Noh dilaporkan berkata, beliau hanya bersedia kembali ke Umno dengan syarat ia menamatkan kerjasamanya dengan DAP.
Pada Februari, Noh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli MPT Bersatu berikutan kekecewaan terhadap Lembaga Disiplin yang didakwa tidak menghormati keputusan MPT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan