KOSMO!
KOTA BHARU – Seorang warga emas mendakwa melihat seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mental memegang sekeping kertas yang sedang terbakar sehari sebelum kebakaran yang memusnahkan 29 buah rumah di Kampung Gok Kapor di sini semalam.
Mohd. Yusoff Mohamad, 65, mendakwa, dia sempat menegur dan menasihatkan wanita berusia dalam lingkungan 70-an itu supaya tidak bermain dengan api bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Dia bagaimanapun tidak pasti sama ada kejadian yang dilihatnya itu mempunyai kaitan dengan kebakaran yang berlaku keesokan harinya.
“Saya nampak wanita itu memegang kertas yang sedang menyala ketika berada di rumah. Saya terus menasihatinya supaya tidak berbuat demikian. Keesokan harinya berlaku kebakaran di kampung ini. Saya tidak pasti punca sebenar kebakaran tersebut,” dakwanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengimbau detik cemas semasa kebakaran, Mohd. Yusoff memberitahu, ketika kejadian, dia bersama seorang penduduk lain sedang membina reban ayam di belakang surau kampung kira-kira pukul 11 pagi, kemudian ternampak asap dan api sebelum bergegas ke lokasi.
“Saya cuba masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan beberapa barangan, namun terkena percikan api pada lengan kiri. Isteri saya, Zarina Mohd. Noor, 61, sempat menyelamatkan dokumen penting manakala anak lelaki kami berusia 18 tahun yang menghidap autistik berjaya keluar dari rumah sebelum api merebak dengan cepat ke kediaman lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan