"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Lelaki Rohingya gagal lolos, tersilap masuk jalan mati

NORLIDA AKMAR IDROS
LELAKI Rohingya ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen di Jalan Simpang Empat, Alor Setar kelmarin. - Foto JPJ Kedah
ALOR SETAR – Cubaan seorang lelaki etnik Rohingya melarikan diri daripada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal apabila dia memasuki jalan mati di Jalan Simpang Empat di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, penunggang motosikal warga Myanmar berusia 26 tahun tersebut ditahan selepas dikejar kira-kira 800 meter oleh Unit Penguat Kuasa Bermotosikal (Falcon) JPJ.

Pengarah JPJ negeri, Stien Van Lutam berkata, lelaki itu pada mulanya dikesan ketika berada di persimpangan lampu isyarat di Simpang Empat Kangkong sebelum bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Falcon.

Katanya, anggota penguat kuasa kemudian mengejar warga asing terbabit sebelum berjaya menahannya di jalan mati berhampiran deretan kedai lama di kawasan Jalan Simpang Empat.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang bekerja sebagai pesawah itu gagal mengemukakan lesen memandu yang sah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati motosikal yang ditunggang lelaki itu masih mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah sehingga 5 Januari tahun hadapan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan penguatkuasaan tetap diambil terhadap lelaki terbabit atas kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen yang sah.

“Sebanyak enam saman P22 telah dikeluarkan melibatkan kesalahan lesen memandu dan kesalahan teknikal kenderaan.

“Motosikal tersebut turut disita dan dibawa ke Depoh Simpanan Kenderaan JPJ Alor Setar untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, pemilik motosikal itu juga akan dikenakan tindakan kerana membenarkan kenderaannya digunakan oleh individu yang tidak memiliki lesen memandu. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: