2,324 warga asing dikesan salah guna pas
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seramai 2,324 warga asing dikesan menyalahgunakan pas, termasuk menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan.
Mereka sebahagian daripada 30,801 warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, dalam tempoh sehingga 31 Mei lalu.
“Imigresen akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan serta memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian, agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap pelanggaran undang-undang dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh,” kata Ketua Pengarah Zakaria Shaaban dalam kenyataan.
Bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan dan menyeluruh, imigresen melaksanakan pelbagai pendekatan strategik termasuk penubuhan inspektorat penguatkuasaan, melaksanakan operasi bersasar di lokasi tumpuan dan pengukuhan operasi bersepadu, serta tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar peraturan.
“Imigresen turut menetapkan petunjuk prestasi utama tahunan yang memberi penekanan kepada tindakan terhadap warga asing dan majikan yang melakukan kesalahan imigresen,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi penguat kuasa dan kementerian berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang menyalahgunakan visa pelancong atau pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
Beliau berkata tindakan segera perlu diambil susulan peningkatan kes warga asing yang didakwa menjalankan perniagaan menggunakan visa pelawat atau pelajar selain menyalahgunakan permit dan lesen perniagaan milik rakyat tempatan.
Menurutnya, kegiatan itu melanggar undang-undang malah menjejaskan peluang ekonomi dan pekerjaan rakyat tempatan, serta menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Beberapa kementerian dan agensi termasuk imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Lembaga Hasil Dalam Negeri, kastam, pihak berkuasa tempatan, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia diminta memperhebat tindakan penguatkuasaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan