"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita disyaki kurung anak angkat dalam stor ditahan

Bernama

SEREMBAN: Polis menahan seorang wanita berusia 46 tahun disyaki mengurung seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dalam stor belakang rumah di Taman Tuanku Jaafar di sini semalam.

Ketua Polis Seremban, Mohd Yatim Osman, berkata pihaknya menerima laporan pada 7.22 malam mengenai seorang kanak-kanak perempuan didakwa telah dikurung dalam stor tidak berkunci.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa adalah anak angkat kepada keluarga itu sejak berusia setahun lapan bulan.

“Sepanjang cuti persekolahan lepas, mangsa ditempatkan di dalam sebuah stor tidak berkunci di belakang rumah dan diberikan makan dua kali sehari.

“Mangsa hanya dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk menggunakan tandas sebelum diarahkan kembali ke stor selepas selesai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yatim berkata siasatan turut mendapati mangsa sering dimarahi dan dipukul oleh suspek yang juga ibu angkatnya atas perkara kecil termasuk mencuri makanan pada waktu malam.

Beliau berkata mangsa diselamatkan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan reman ke atas suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zulfitri Abd Razak di talian 06-603 3222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: