"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi dakwa Bersatu rakus kerusi

Bersatu rakus kerusi, PAS pilih istiqamah, kata Hadi
Malaysiakini 

PAS mendedahkan parti itu membuat keputusan untuk memberhentikan kerjasama ta‘awun siyasi dengan Bersatu demi beristiqamah atas prinsip dan matlamat perjuangan, kata presiden parti itu, Abdul Hadi Awang.

Menurutnya beberapa punca perpecahan itu, termasuk dakwaan diperbodohkan Bersatu. Selain itu, Abdul Hadi berkata, kepimpinan Muhyiddin Yassin didapati mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi secara rakus sewaktu pilihan raya umum.

“Apabila Bersatu mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi, bukan tujuan asalnya demi perpaduan umat tetapi ingin menguasai majoriti umat Islam bersama parti bukan Islam tanpa mengira kedudukan Islam berkuasa dan mengira Melayu bumiputera yang menguasai.

“Tiba-tiba, Bersatu cuba melemahkan peranan PAS yang meneroka perubahan politik dan membodohkan PAS dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak, khususnya parti Melayu Islam seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya menerusi ruangan Minda Presiden PAS hari ini.

Di samping itu, Abdul Hadi berkata, Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi sewaktu pilihan raya umum dengan rakus tanpa mengira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahlinya dengan memberi maklumat yang salah berkenaan jumlah ahli dan jenteranya.

Ahli PAS jadi buruh paksa

Ternyata katanya, apabila turun ke lapangan, mereka tidak kelihatan, sehingga menjadikan ahli PAS yang melakukan kerja secara sukarela seperti buruh paksa bagi pihak calon-calon yang tidak ada kelayakan dan tidak ada jenteranya sendiri.

Malah, menurut presiden PAS itu, berlaku krisis dalaman yang parah dalam Bersatu sendiri kerana perebutan kuasa sehingga berlaku pemecatan yang tidak mengikut proses disiplin yang bermoral.

“Sehinggakan, sebahagian besar ahli Parlimen yang berperanan dan aktif bersama PAS yang dikenali oleh PAS telah disingkirkan, digantung dan dipecat.

“Ada juga yang melompat keluar daripada parti, apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan PN dan menjatuhkan maruahnya,” katanya.

Abdul Hadi juga menyentuh langkah yang tidak setia kawan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh PAS di Perlis sehingga menyaksikan menteri besarnya, Mohd Shukri Ramli dijatuhkan dan digantikan oleh Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu.

“Demikian juga langkah merosakkan operasi politik yang dirancang kerana mahukan jawatan perdana menteri dan operasi mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan yang dipengaruhi DAP dengan menarik SD sokongan sehingga menggagalkan jumlah yang sudah mencukupi.

“Langkah oportunis pemimpinnya menganggu perjuangan asal penyatuan ummah. Maka, PAS wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangannya yang berprinsip. mengisi jawatan berkenaan,” katanya.

Tambah Abdul Hadi, PAS menyelami keadaan yang salah dan cuba membuat pembetulan terhadap perlembagaan PN yang bersifat sangat lemah dan menegur perangai yang salah dalam mesyuarat melalui pertemuan khusus dan pertemuan peribadi.

“Namun begitu, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya. Akhirnya, PAS terpaksa menelan pahitnya dalam pilihan raya umum, pilihan raya kecil, dan pilihan raya negeri,” katanya lagi.

Tiada ulasan: