Paya Linda Yahya
am@hmetro.com.my

LANGNIT di bawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan menggunakan pesawat Mi-17-IV melalui penerbangan Medevac (Medical Evacuation) oleh Unit Udara JBPM. FOTO Paya Linda Yahya
Gua Musang : Seorang lelaki Orang Asli dari Kampung Piyel, Pos Bihai, di sini, berhadapan detik cemas apabila kepalanya ditimpa pokok yang ditebang ketika membersihkan tanah kebun, semalam.
Langnit Asang, 26, dikatakan sempat berjalan kaki lebih kurang 30 minit dalam keadaan berlumuran darah sebelum tiba di rumah dan pengsan.
Abang saudara mangsa, Rantau Poat, 41, berkata, Langnit dikatakan keluar bersendirian untuk membersihkan kawasan kebun sekitar jam 8 pagi.
Katanya, kira-kira jam 10.30 pagi mangsa pulang dengan berjalan kaki lebih kurang 30 minit dalam keadaan berlumuran darah sebelum menghubungi portal Orang Asli untuk mendapatkan bantuan.
"Kami terkejut apabila melihat keadaan Langnit yang berlumuran darah dan pengsan. Sementara menunggu pertolongan sampai, dia sempat sedar dan memberitahu terkena batang pokok yang tumbang ketika menebang pokok terbabit.
"Kira-kira jam 3 petang Langnit dibawa ke hospital menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang.
Sementara itu Timbalan Penguasa Bomba II, Pangkalan Udara Wilayah Tengah (PUWT) Subang, Selangor, Mohd Azuna Mohamed Sabri, berkata pesakit dan pengiring dibawa menaiki pesawat Mi-17-IV untuk dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) bagi menerima rawatan susulan.
Katanya pesawat berlepas dari Subang kira-kira jam 1.30 tengah hari dan mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang jam 2.36 petang untuk mengambil seorang doktor dan pembantu perubatan untuk mengambil pesakit.
"Pesawat mendarat di Kampung Piyel jam 3 petang bagi mengambil mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan serius di kepala selepas ditimpa sebatang kayu besar ketika berkebun.
"Mangsa dipercayai tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan yang banyak serta diperiksa terlebih dahulu sebelum diletakkan di atas pengusung dan dibawa masuk ke dalam pesawat oleh anggota PASKUB dan orang kampung," katanya yang juga juruterbang pesawat itu ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan