"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru muzik dituduh amang seksual 6 pelajar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar perempuan sekolah menengah di Sabak Bernam.

Bagaimanapun, tertuduh Idi Johan Mohd Zohdi, 45, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Berdasarkan pertuduhan, guru itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas enam pelajar perempuannya yang berusia 15 tahun bagi maksud seksual, lapor Harian Metro.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik kelas, stor barang muzik, sebuah rumah dan kereta di sekitar Sabak Bernam antara Januari 2025 hingga Februari lalu.

Justeru, tertuduh yang mengajar subjek muzik itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama dengan Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Mengikut Seksyen 16 (1) akta sama, tertuduh juga boleh dikenakan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Imran Tamrin, Mohd Hafizuddin Khan Norkhan, Ainul Aizat Ahmad Ishak dan Intan Syakieraa Zakaria.

Imran dalam rayuan memohon pengurangan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah dan tiada sebarang rekod lampau.

Mahkamah kemudian membenarkan kos jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan dan mengenakan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan termasuk menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 30 Julai ini.

Tiada ulasan: