KOSMO!

FENOMENA embun beku mula kelihatan di kawasan Gunung Bromo pada Isnin lalu.- Dok. Bams Tour Bromo via Detikcom
JAKARTA – Kawasan pelancongan tanah tinggi terkenal Indonesia, Gunung Bromo kembali memukau dunia apabila dilaporkan mengalami fenomena embun beku ataupun bersalji buat pertama kalinya pada tahun ini, lapor portal berita detikjatim.
Fenomena unik menyamai suasana musim sejuk itu dikesan menyelubungi beberapa kawasan di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS) awal pagi Isnin lalu.
Menurut laporan tempatan, lapisan kristal ais yang memutih kelihatan menutupi kawasan berumput, dedaun pokok, sehinggalah ke hamparan luas lautan pasir di sekitar Bromo.
Fenomena tersebut berlaku berikutan suhu udara yang merosot sehingga di bawah 5 darjah Celsius pada waktu awal pagi, menyebabkan embun yang terbentuk sepanjang malam membeku lalu menghasilkan lapisan putih seakan salji.
Kemunculan embun beku itu terus menarik perhatian pelancong yang sudah berada di lokasi tersebut sejak sebelum subuh lagi.
Ramai pengunjung mengambil peluang memanfaatkan detik jarang berlaku itu untuk bergambar di samping menikmati udara sejuk yang jarang ditemui di negara beriklim tropika seperti Indonesia. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan