Juwan Riduan

Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 26 kondominium, di Jalan Bundusan, Penampang, hari ini. – Foto: PDRM
PENAMPANG: Seorang lelaki ditemukan maut berhampiran lobi kondominium di Jalan Bundusan, di sini selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 26 bangunan berkenaan, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 34 tahun ditemukan terbaring di atas jalan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari unit kediaman di tingkat 26 kondominium berkenaan.
“Pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Kami juga meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan