"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Angkara cemburu, lelaki maut ditikam dalam pergaduhan, suspek sedang dikesan

Zahratulhayat Mat Arif
zahratulhayat@nst.com.my
POLIS sedang mengesan lelaki disyaki menikam mati seorang pemuda berusia 29 tahun, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Polis.
POLIS sedang mengesan lelaki disyaki menikam mati seorang pemuda berusia 29 tahun, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Pasir Salak: Polis sedang mengesan lelaki yang disyaki menikam seorang pemuda berusia 29 tahun sehingga maut dalam satu pergaduhan di KM 12, Jalan Trans Perak di sini awal pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.49 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman ketika bertengkar dengan seorang lelaki berusia 30 tahun yang sudah dikenal pasti oleh polis.

"Mangsa dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Siasatan polis mendapati suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki kereta Proton Wira sedan berwarna hitam bernombor pendaftaran WGX 3707," katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, perasaan cemburu mungkin menjadi motif di sebalik kejadian berkenaan.

Beliau berkata, operasi mengesan suspek sedang giat dijalankan, manakala siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau lokasi suspek supaya tampil membantu siasatan.

"Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan S Murugan di talian 012-6992784 atau Inspektor Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019-6751267, atau menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Tiada ulasan: