"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berang kena hon, lelaki tetak penunggang motosikal di Shah Alam

Sinar Harian
Berang akibat dibunyikan hon, seorang lelaki bertindak menetak seorang penunggang lain menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Seksyen 13 di sini pada Khamis. Foto Tular
Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur. - Gambar/ Media sosial
SHAH ALAM: Berang akibat dibunyikan hon, seorang lelaki bertindak menetak seorang penunggang menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Seksyen 13 di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 berhubung kejadian itu pada jam 8.19 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa, lelaki tempatan berusia 45 tahun, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

"Semasa melalui laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan Seksyen 13, mangsa telah membunyikan hon terhadap seorang penunggang motosikal yang dipercayai menghalang laluannya.

"Bagaimanapun, suspek lelaki tempatan berusia 43 tahun itu tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membunyikan hon itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sarudin berkata, suspek kemudian bertindak memberhentikan motosikalnya di tepi jalan sebelum menyerang mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

"Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Suspek kemudian ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan: