"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu akan tanding PRN N Sembilan guna logo PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bersatu Negeri Sembilan akan tetap bertanding guna platform Perikatan Nasional (PN) dalam PRN akan datang walaupun rakan gabungan PAS memutuskan kerjasama politik dengan parti itu.

Ketuanya Hanifah Abu Baker berkata, ini kerana kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRN lalu adalah atas tiket PN dan pengundi beri kepercayaan serta tanggungjawab untuk wakili mereka di DUN, lapor Utusan Malaysia.

“Sokongan mereka ini sepatutnya diberi perhatian oleh PN dan menjadi pertimbangan kepada gabungan ini untuk mengharungi PRN tidak lama lagi,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Katanya, keputusan PAS yang memutuskan kerjasaama dengan Bersatu tetapi pada masa yang sama masih berada dalam PN adalah agak mengelirukan.

Menurutnya lagi, tindakan PAS itu juga mengecewakan harapan pengundi yang melihat PN sebagai satu gabungan parti politik yang mampu menjadi kerajaan yang lebih baik untuk rakyat.

“Terdapat tanda-tanda yang jelas bahawa gabungan ini semakin mendapat sokongan daripada setiap peringkat masyarakat dan kepercayaan ini tidak sepatutnya disia-siakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua PAS Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata parti itu belum membuat sebarang ketetapan sama ada mahu bertanding menggunakan logo PN atau parti itu sendiri.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan Jumaat lalu, dua bulan selepas 14 Adun Umno menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun, dan menarik balik sokongan terhadap pentadbirannya.

Pada PRN 2023, PN memenangi lima kerusi DUN iaitu tiga daripada PAS dan dua lagi daripada Bersatu.

Tiada ulasan: