Malaysiakini
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan penahanan dua individu berhubung dakwaan kesalahan khalwat yang melibatkan seorang tokoh politik di daerah Petaling semalam.
"Jais mengesahkan bahawa satu tangkapan berkaitan kesalahan khalwat melibatkan figura awam telah dilakukan di sekitar daerah Petaling pada pukul 6.00 petang, semalam.
“Dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” kata Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan hari ini
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Jais tidak mendedahkan identiti kedua-dua individu berkenaan dalam kenyataannya.
Malaysiakini turut tidak menyiarkan nama ahli politik yang didakwa ditahan itu sementara menunggu maklum balas daripada individu terbabit.
Astro Awani yang memetik sumber, sebelum ini melaporkan bahawa seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berusia 44 tahun ditahan kerana didakwa berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah kediaman di Petaling Jaya pada jam 6 petang semalam.
Menurut laporan itu, pasukan lima anggota penguat kuasa Jais memasuki kediaman berkenaan dan mendapati pemimpin politik itu serta wanita berkenaan berada di dalamnya.
Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke pejabat Jais di Shah Alam untuk proses dokumentasi, kata laporan itu.
Dalam kenyataannya, Jais turut menasihati umat Islam supaya tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikan mereka bahan spekulasi, perdebatan atau fitnah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan