Predeep Nambiar
PUTRAJAYA: Seorang pendandan rambut, pereka dalaman dan kerani dibebaskan hari ini selepas lebih enam tahun dipenjara berhubung kes pembunuhan seorang lelaki berusia 26 tahun di Kajang.
Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan sabitan terhadap S Ragunathan, 40, R Navukarasan, 35, dan V Sugumaran, 37, selepas memutuskan sabitan itu tidak selamat untuk dikekalkan.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Azman Abdullah, yang turut dianggotai Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy.
Ragunathan, Navukarasan dan Sugumaran masing-masing dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam Hazlina Hussain pada 12 Jun tahun lalu.
Hukuman penjara mereka berkuat kuasa dari tarikh ditangkap pada 25 Ogos 2020.
Ketiga-tiga mereka disabitkan kesalahan membunuh V Syamalan di tempat letak kereta tingkat satu Pangsapuri Setia Impian di Jade Hill, Kajang, antara 2 petang hingga 7.30 malam pada 14 Ogos 2020.
Pihak pendakwaan mendakwa Syamalan dipukul susulan pertikaian berhubung hasil jualan dadah, dengan ketiga-tiga lelaki itu terbabit dalam serangan pada waktu berbeza.
Mangsa mengalami lebih 30 kecederaan. Pakar patologi mengenal pasti pelbagai kecederaan akibat trauma tumpul sebagai punca kematian, manakala kesan methamphetamine dalam tubuh mangsa mempercepatkan kematiannya.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati ada percanggahan antara anggaran waktu kematian mangsa dengan keterangan mengenai waktu ketiga-tiga lelaki itu tiba di tempat letak kereta berkenaan.
Pakar patologi menganggarkan Syamalan meninggal dunia antara 1 tengah hari hingga 2 petang, namun keterangan menunjukkan Navukarasan tiba selepas 3 petang, manakala Ragunathan sekitar 4.30 petang atau lebih lewat.
Mahkamah turut mendapati pihak pendakwaan gagal menolak kemungkinan dua individu lain dikenali sebagai Vishnu dan Tina, yang masih belum ditangkap, menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematian mangsa.
Mahkamah juga mendapati percanggahan ketara dalam keterangan saksi pendakwaan.
Sebagai contoh, seorang saksi memberi keterangan bahawa Sugumaran tidak memukul mangsa, sebaliknya meminta individu lain berhenti memukulnya.
Panel hakim berkata hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan sewajarnya keterangan pihak pembelaan bahawa ketiga-tiga lelaki itu tiba kemudian dan cuba menghentikan serangan terhadap mangsa.
Panel itu turut mendapati Hazlina melampaui batas kuasanya ketika menyoal seorang saksi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadilan perbicaraan.
“Walaupun kami menghormati ketelitian pesuruhjaya kehakiman berkenaan, kami berpuas hati bahawa sabitan itu tidak selamat untuk dikekalkan,” kata panel itu ketika mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap ketiga-tiga lelaki berkenaan.
Peguam Geethan Ram Vincent dan Lavanyia Raja mewakili Ragunathan dan Navukarasan, manakala Gabriel Susayan dan Sharanya Subramaniam mewakili Sugumaran.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan