"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Doktor didakwa jahit pesakit bersuluh lampu telefon - MMA gesa KKM siasat

Malaysiakini

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) segera menyiasat dakwaan seorang doktor di Sabah terpaksa menjahit luka pesakit menggunakan lampu suluh telefon bimbit selepas bekalan elektrik terputus.

Presidennya, Dr Sivanaesan Letchumanan, berkata kejadian itu, jika benar, tidak boleh diterima dan memerlukan campur tangan segera kementerian kerana membangkitkan kebimbangan serius terhadap keselamatan pesakit.

“Tiada pesakit sepatutnya menjalani pembedahan dalam keadaan sedemikian, dan tiada doktor sepatutnya terpaksa berkompromi dalam penjagaan pesakit kerana sistem penting hospital gagal berfungsi,” katanya dalam kenyataan.

Dakwaan kejadian itu dibangkitkan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan ketika membahaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada 17 November.

Zahir mendakwa gangguan bekalan elektrik serta ketiadaan sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) yang berfungsi menyebabkan doktor terpaksa menggunakan lampu suluh telefon bimbit untuk menjahit luka pesakit selepas bersalin.

"Penyaman udara berhenti berfungsi, suhu mula meningkat dan pakar bedah berpeluh di sebalik gaun pembedahan," katanya.

Menurut Zahir lagi, dewan bedah hospital berkenaan juga pernah terpaksa ditutup pada September 2025 akibat gangguan bekalan air.

Sementara itu, Sivanaesan menggesa KKM segera menyiasat laporan itu serta menjalankan audit terhadap infrastruktur kritikal hospital di seluruh negara, khususnya dewan bedah, unit rawatan rapi (ICU) dan bilik bersalin.

“Kerosakan berulang sistem penyaman udara, gangguan bekalan elektrik dan air, serta kegagalan sistem bekalan kuasa sandaran yang dilaporkan sangat membimbangkan.

“Ini bukan masalah penyelenggaraan kecil. Masalah ini boleh menjejaskan keselamatan pesakit, kawalan jangkitan dan penyampaian rawatan perubatan tepat pada masanya secara langsung,” tambahnya.

Dia berkata hospital yang berdepan kegagalan seumpama itu mesti diberi keutamaan untuk tindakan pembaikan segera, sambil menegaskan keselamatan pesakit tidak sepatutnya bergantung pada ikhtiar doktor mengatasi kelemahan infrastruktur.

“Petugas kesihatan mesti dilengkapi kemudahan yang selamat dan boleh diharap untuk memberikan mutu penjagaan yang sewajarnya diterima setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Zahir memberitahu Dewan Rakyat seorang petugas hospital memaklumkan kepadanya sistem penyaman udara dewan bedah rosak hampir setiap bulan, mengganggu prosedur perubatan dan menyebabkan pembedahan berjadual ditangguhkan atau dibatalkan.

Ahli Parlimen PKR itu menggesa penilaian segera terhadap sistem bekalan kuasa sandaran dan penyejukan di dewan bedah, ICU serta wad bersalin di seluruh negara, dengan perhatian khusus kepada hospital di Sabah dan Sarawak.

Dia turut mencadangkan sebahagian daripada peruntukan RM429.5 juta bagi kerja ubah suai, naik taraf dan pembaikan dikhususkan untuk menggantikan bateri UPS yang uzur, sistem penyaman udara serta infrastruktur bekalan kuasa kritikal lain, termasuk di Hospital Duchess of Kent.

Selain pembaikan segera, Zahir menggesa KKM membentangkan laporan berkala kepada Parlimen mengenai kemajuan kerja menaik taraf kemudahan kritikal hospital.

Tiada ulasan: