"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Sekolah kata sakit perut, rupanya anak dipukul hingga menggigil tahan sakit...'

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Tangkak: "Pihak sekolah hubungi kami beritahu dia sakit perut. Kami bergegas ke sekolah sebelum menemukan dia dalam keadaan menggigil menahan kesakitan."

Demikian kata ahli keluarga pelajar Tingkatan Dua yang disyaki menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Taman Sri Kesang di sini, pada 13 November lalu.

Ahli keluarga mangsa berusia 35 tahun yang enggan dikenali itu mendakwa, apabila ditanya, pelajar itu memberitahu bahawa dia dipukul.

Dakwanya, remaja terbabit mengalami kecederaan di belakang kepala, belakang telinga dan leher sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

"Rawatan di hospital hanya selesai pada sebelah malam dan kami membuat laporan polis selepas itu," katanya ketika dihubungi.

Dia mendakwa, mangsa kini trauma susulan kejadian berkenaan dan perlu menjalani sesi kaunseling selama dua minggu bermula 13 November lalu.

Katanya, keluarga pada mulanya kecewa apabila dimaklumkan mangsa turut dikenakan tindakan gantung sekolah walaupun mendakwa remaja itu menjadi mangsa pukul.

"Pihak sekolah kata ini kes pergaduhan, sedangkan dia yang dipukul. Kami tunjukkan rakaman video kejadian kepada pengetua yang baru beberapa hari bertugas di sekolah berkenaan.

"Sebab itu kami meluahkan rasa tidak puas hati menerusi media sosial kerana kecewa dengan tindakan pihak sekolah," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan gantung sekolah itu sudah ditarik balik buat sementara waktu, selepas video kejadian tular dan perkara berkenaan mendapat perhatian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Mengulas lanjut, dia berkata, seorang daripada ibu bapa pelajar yang didakwa terbabit dalam kejadian itu sudah bertemunya untuk memohon maaf, manakala ada juga yang menghubunginya menerusi WhatsApp.

"Memang ada ibu bapa yang WhatsApp saya untuk meminta maaf, tetapi yang datang berjumpa secara bersemuka hanya seorang.

"Saya cuma mahukan keadilan untuk mangsa. Saya bimbang jika tiada tindakan tegas diambil, perkara sama boleh berlaku kepada pelajar lain.

"Mangsa dipukul berkali-kali di bahagian belakang kepala sehingga dia beritahu pandangannya hampir gelap ketika kejadian," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Roslan Talib mengesahkan tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun ditahan bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perbualan dalam kumpulan WhatsApp sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati antara pelajar terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: