"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shahidan teliti peluang sertai PAS selepas pertahan Parlimen Arau

Aizat Sharif

am@hmetro.com.my

Kangar: Datuk Seri Shahidan Kassim yang memenangi kerusi Parlimen Arau akan meneliti dahulu peluangnya untuk menyertai PAS sekiranya diizinkan pucuk pimpinan parti itu susulan kejayaan sensasinya mempertahankan kerusi itu sekali gus membawa penguasaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Beliau berkata, beliau bertanding secara ahli terus atau 'direct' PN namun menggunakan PAS sebagai 'base' dalam pencalonannya yang sudah dipersetujui dan direstui oleh pimpinan PAS dan PN.

"Saya bertanding atas tiket PAS dalam PN namun begitu saya kena teliti dulu kerana belum menjadi ahli lagi (PAS atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia) disebabkan penyertaan saya sebagai calon PN secara 'direct'.

"Insya-Allah, saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada PAS yang memberi peluang kepada saya bersama-sama dengan mereka dan berdasarkan rekod lalu, saya tidak pernah melupakan kawan (PAS dan Bersatu)," katanya kepada pemberita dalam sidang media meraikan kejayaan PN Perlis di Kompleks PAS Perlis di sini awal pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada beliau akan menyertai PAS selepas ini berikutan keterbukaan PN menerima beliau untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Arau dalam PRU15 semalam.

Shahidan, 71 adalah tokoh politik yang tidak asing lagi di Perlis dengan menyandang jawatan sebagai Ahli Parlimen Arau sejak PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 menerusi Barisan Nasional (BN).

Namun penggugurannya daripada bertanding pada PRU kali ini oleh BN membuka peluang kepada PN untuk meneruskan momentum kejayaannya dengan menawarkan dirinya untuk terus bertanding dan menang di kerusi parlimen itu.

Semalam, Shahidan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Arau dengan majoriti 23,216 undi menewaskan pencabarnya, Datuk Rozabil Abdul Rahman dari BN dan calon muda Pakatan Harapan, Fathin Amelina Fazlie.

Ini adalah kejayaan dengan majoriti terbesar yang pernah diperolehi beliau selepas sekadar mencatatkan majoriti sekitar 1,000 hingga 7,000 sahaja pada beberapa PRU terdahulu.

Tiada ulasan: