"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shahril Hamdan letak jawatan, minta Zahid juga ‘undur secara terhormat’

FMT Reporters

Bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, beliau kekal setia dengan parti walaupun tidak lagi memegang jawatan.

PETALING JAYA: Shahril Hamdan hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua penerangan Umno, selain menyarankan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, “berundur secara terhormat”.

Beliau berkata, pemimpin lain patut diberi laluan untuk membuat keputusan besar buat parti.

“Saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu, presiden Umno dan pengerusi BN, perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab (atas) kekalahan ini – berundur secara terhormat.

“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti.

“Atas semangat tanggungjawab kolektif itu, saya juga meletakkan jawatan selaku ketua penerangan Umno,” katanya sambil menambah, beliau kekal setia dengan parti walaupun tidak lagi memegang jawatan.

Katanya, Zahid perlu berundur dahulu sebelum langkah seterusnya diambil dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi turut menggesa Zahid meletak jawatan, dengan berkata, beliau perlu “berjiwa besar” seperti Najib Razak yang berundur susulan kekalahan BN pada PRU14.

Selain itu, Pemuda Umno Bahagian Kota Raja turut membuat gesaan sama terhadap Zahid, dan timbalannya Mohamad Hasan yang pernah berjanji untuk meletak jawatan jika BN gagal memenangi PRU kali ini.

Tiada ulasan: