"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas anggap terlalu awal bincang pertukaran MB Perlis

Harapandaily

Pas menegaskan masih terlalu awal untuk membincangkan isu pertukaran kepimpinan kerajaan Perlis, biarpun Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata semua pihak sebaliknya perlu membiarkan siasatan menyeluruh dijalankan pihak berkuasa, sebelum sebarang perbincangan mengenai kedudukan Mohd Shukri dibuat.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk membincangkan soal perubahan (kepimpinan) kerajaan Perlis.

“Ini zaman (kerajaan) Madani, ketika era ini ada yang dipanggil membela diri pun dapat DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) dan sebagainya.

“Kalau mahu bincangkan pertukaran (kepimpinan) kerajaan Perlis ini masih terlalu awal, kita serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya, dipetik BH.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian selepas Ceramah Umum PN di Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Pada 1 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor mengesahkan Mohd Shukri memberi keterangan selama lapan jam mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan dakwaan salah guna kuasa.

Pesuruhjaya PAS Perlis merangkap Pengerusi PN Perlis itu dipanggil memberi keterangan membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana, termasuk membaik pulih, menyenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Tiada ulasan: