"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perjalanan penuh dugaan, kata Dr M menuju usia 100 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mengimbau perjalanan hidupnya yang akan menjangkau usia 100 tahun pada pertengahan tahun depan.

Negarawan itu mengakui ia penuh dugaan namun bersyukur diberi peluang bekerja untuk kesejahteraan rakyat dari zaman remaja sehingga ke hari ini.

Beliau juga bersyukur dikurniakan kesihatan yang agak baik dan fikiran yang waras dalam mengharungi perjalanan yang panjang.

“Saya bernasib baik dapat bersama dalam mengharungi detik-detik penting di dalam sejarah negara,” katanya di platform X.

Dilahirkan pada 10 Julai 1925, Mahathir menyertai Umno pada 1946 pada usia 21, dan bertanding pilihan raya buat pertama kali pada 1964.

Pertama kali menggalas tanggungjawab menteri pada 1974 di porfolio pendidikan, beliau kemudian mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada Julai 1981.

Mahathir terus menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun, iaitu sehingga Oktober 2003.

Pada 2018, beliau kembali menyahut seruan jawatan tersebut sehingga Mac 2020.

“Sepanjang tempoh itu yang saya lihat, yang menjayakan negara ialah jati diri rakyat, semangat juang rakyat, yang punyai harga diri, yang tidak sanggup gadai tanah dan maruah bangsa untuk apa sekali pun,” katanya.

“Apakah kita masih lagi ada semangat serta nilai-nilai murni seperti mereka yang terdahulu dari kita, yang telah berjuang untuk negara agar kita dapat menikmati segala yang kita ada pada hari ini.”

Mahathir menyeru pembacanya supaya berazam menjadi rakyat yang lebih baik, bertanggungjawab, dan sayangkan negara.

“Jadilah rakyat yang berpegang kepada nilai-nilai murni, yang berprinsip, hormat antara satu sama lain, patuh pada undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

Tiada ulasan: