FMT Reporters
Dua lagi mangsa turut parah dalam kejadian di Kilometer 152 Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Felda Nerek pagi tadi.
Beberapa anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dinaiki terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Dua maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter di Kilometer 152, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Felda Nerek, Maran pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 11.07 pagi.
Katanya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama dua jentera yang dibantu tujuh anggota dari BBP Temerloh kemudiannya dihantar ke lokasi untuk membantu.
“Komander operasi melaporkan sebuah kereta jenis Nissan Almera terbabas ke dalam gaung dan terdapat empat perempuan dewasa tersepit di dalam kereta.
“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat,” katanya, menurut Sinar Harian.
Katanya, dua mangsa wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Manakala dua lagi mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan