Pemimpin Bersatu kritik PAS adakan perhimpunan untuk Najib
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mengkritik perhimpunan diketuai PAS untuk menyokong Najib Razak pada 6 Jan, mengatakan ia mencerminkan kesediaan Perikatan Nasional (PN) berkompromi dengan prinsipnya demi kepentingan politik.
Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Mahathir Rais, berkata sabitan dan hukuman 12 tahun Najib dalam kes SRC International menjadi peristiwa penting bagi Malaysia, dan menyifatkan perhimpunan sebagai solidariti terhadap bekas perdana menteri itu sebagai mengecewakan.
Mahathir yang juga setiausaha PN Wilayah Persekutuan berkata, pemimpin gabungan itu sudah menghabiskan masa bertahun-tahun berkempen menentang rasuah dan menarik sokongan rakyat berdasarkan perjuangan tersebut.
“Pemimpin yang pernah menggelar pentadbirannya sebagai kleptokrasi dan korup kini meminta kelonggaran dan menganggapnya sebagai mangsa ketidakadilan. Ini berbau oportunisme politik, mendedahkan kesanggupan untuk mengorbankan prinsip demi kepentingan politik.
“Perhimpunan ini melambangkan isu yang lebih besar dalam politik Malaysia – pemimpin kedua-dua pihak kelihatan lebih fokus untuk memelihara pengaruh mereka daripada menangani kebimbangan rakyat.
“Rakyat dibiarkan sebagai penonton semata-mata dalam teater politik di mana pihak berkuasa melindungi satu sama lain, tanpa mengira pihak mana mereka berada,” katanya dalam kenyataan.
Mahathir juga berkata, ramai anak muda Malaysia kini berasa kecewa dengan politik, selepas menyertai perhimpunan dan bantahan terhadap rasuah.
Beliau berkata, generasi baharu pemimpin muda perlu ‘mengambil alih’ dan membawa Malaysia ke arah masa depan yang menghapuskan keruntuhan moral, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa.
“Rakyat berhak mendapat yang lebih baik. Mereka berhak mendapat pemimpin yang mengutamakan keadilan, integriti, dan kesejahteraan kolektif negara berbanding agenda peribadi atau politik.
“Mereka yang telah mengkhianati amanah negara – tanpa mengira status atau legasi mereka – mesti bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata pemimpin dan ahli parti bebas untuk menyertai perhimpunan menyokong Najib di luar Istana Kehakiman di Putrajaya pada 6 Jan.
Katanya, ia adalah atas semangat ‘perdamaian nasional’.
Anak lelaki Najib, Nazifuddin sebelum ini berkata lebih 200 bas membawa penyokong bapanya akan menghadiri perhimpunan menyokong bekas perdana menteri. Beliau menambah bahawa perhimpunan itu akan menyaksikan ahli PAS, Umno dan Bersatu bersama memperjuangkan kebebasan Najib.
Semalam, komponen Pakatan Harapan (PH), Amanah berkata ahlinya juga bebas menyertai perhimpunan itu dan pimpinan tertinggi parti dan gabungan masih belum mengeluarkan arahan mengenainya.
Perhimpunan itu diadakan pada hari Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib untuk kebenaran mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah, yang didakwanya dikeluarkan dalam perintah tambahan kepada pengumuman Lembaga Pengampunan pada 2 Feb.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan