Bernama
Komander Briged Utara PGA Shahrum Hashim, berkata dadah bernilai RM400,00 itu disyaki untuk edaran di sekitar Perlis. (Gambar Bernama)
PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas ganja lapan kilogram bernilai RM400,000 dalam operasi berhampiran Pos TS13, Jalan Keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand semalam.
Komander Briged Utara PGA Shahrum Hashim, berkata pasukan risikan yang bertugas menaiki kenderaan, mengesan cahaya lampu suluh dari arah tembok sempadan Malaysia-Thailand kira-kira 12.30 tengah malam.
“Pasukan risikan mendekati kawasan berkenaan dan memberi amaran dengan jeritan ‘polis’, kedua-dua suspek lelaki itu melarikan diri dengan memanjat tembok sempadan ke arah Thailand,” katanya pada sidang media.
Shahrum berkata, hasil pemeriksaan menemukan sebuah beg galas hitam di tepi tembok sempadan dan pemeriksaan lanjut mendapati beg itu mengandungi sembilan ketulan mampat dadah disyaki ganja, serta pakaian suspek.
Beliau berkata, dadah itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran di sekitar Perlis dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sindiket penyeludupan di kawasan daerah berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrum berkata nilai rampasan dadah oleh PGA di Perlis mencatatkan penurunan pada tahun 2024, dengan jumlah keseluruhan RM455,900 melibatkan empat kes berbanding RM1,504,460 pada 2023 (lima kes).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan