Bernama
Rakaman CCTV mendapati Perodua Viva disyaki dipandu lelaki itu menghimpit motosikal mangsa hingga terjatuh dengan suspek meninggalkan kawasan nahas.
Ketua Polis Selama Sarudin Samah, berkata kejadian pada Ahad menyaksikan wanita 45 tahun maut di lokasi kejadian, dalam nahas di Jalan Wan Razali, Selama. (Gambar Facebook)
IPOH: Polis menahan lelaki warga emas bagi membantu siasatan kemalangan maut di KM0.6 Jalan Wan Razali, Selama, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Selama Sarudin Samah, berkata lelaki berusia 76 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 28A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagaimanapun, lelaki itu diberi jaminan polis atas sebab lanjut usia dan masalah kesihatan. Kes telah dirujuk ke DPP (timbalan pendakwa raya),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada Ahad, 9.35 pagi, melibatkan wanita berusia 45 tahun yang terjatuh atas jalan raya hingga tidak sedarkan diri selepas motosikal ditunggangnya terbabas.
Wanita itu kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Sarudin berkata, polis telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati terdapat kesan cat kenderaan asing pada motosikal mangsa, susulan itu, polis percaya terdapat kenderaan lain terlibat dalam nahas itu.
“Hasil siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup di premis kawasan kejadian mendapati sebuah kereta Perodua Viva telah menghimpit motosikal mangsa ketika memotong menyebabkannya terjatuh. Suspek bertindak meninggalkan tempat kemalangan tanpa membuat laporan polis,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan