Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
POLIS melakukan pemeriksaan di lokasi budak perempuan berusia enam tahun maut dipercayai akibat tersepit di celah besi meja lipat dalam kejadian di Taman Seri Putera, Nibong Tebal. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nibong Tebal: Seorang budak perempuan maut dipercayai akibat tersepit di celah besi meja lipat di rumah sewanya di Taman Seri Putera, di sini, petang semalam.
Insiden kira-kira jam 4.15 petang itu dikatakan berlaku ketika mangsa berusia enam tahun sedang bermain seorang diri di bahagian belakang rumah itu.
Difahamkan, ketika kejadian, ibu, kakak dan abang mangsa berusia sembilan tahun dan 10 berada di dalam rumah.
Bagaimanapun, mereka hanya menyedari insiden terbabit selepas tidak mendengar sebarang bunyi sebelum keluar untuk memeriksa dan menemui mangsa tidak sedarkan diri.
Mereka kemudian mendapatkan bantuan jiran untuk menghantar mangsa ke hospital, namun kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak.
Pihak hospital menghubungi polis untuk memaklumkan berhubung kematian mangsa dan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan