"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat Malaysia Timur makin takut PAS selepas sebat terbuka

Carolyn K

PETALING JAYA: Penduduk di Sabah dan Sarawak akan lebih takutkan PAS selepas seorang lelaki dihukum sebat di khalayak atas kesalahan khalwat di Terengganu, sekali gus menyukarkan parti itu untuk memperluaskan pengaruhnya di negeri-negeri tersebut, kata penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata PAS kelihatan berusaha keras menjadikan Malaysia sebuah negara patuh syariah dengan masyarakat yang lebih konservatif.

Katanya, usaha itu sudah jelas di empat negeri yang ditadbir PAS di Semenanjung.

Chin menjangkakan kebanyakan rakyat Sabah dan Sarawak termasuk yang beragama Islam menolak bentuk hukuman seperti itu, dan ia mungkin menyebabkan PAS dijauhi sama sekali.

“Hukuman sebat di khalayak berdasarkan undang-undang Islam mungkin dianggap biasa di Acheh, Indonesia, tetapi kebanyakan orang tidak menjangkakan perkara ini berlaku di Malaysia.

“Rakyat Sabah dan Sarawak tidak mahu sebuah negara Islam. Kami mempunyai visi berbeza untuk Malaysia,” katanya kepada FMT.

Chin turut merujuk kepada klausa dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang secara khusus menetapkan bahawa kedua-dua negeri Borneo itu tidak akan mempunyai agama rasmi.

PAS sudah lama berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan di Malaysia Timur, di mana mereka kini hanya mempunyai seorang wakil iaitu Aliakbar Gulasan, seorang Adun lantikan di Sabah.

Pada September lalu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah, menegaskan bahawa rakyat Sarawak tidak akan menerima ideologi PAS.

Pada 2021, PAS bertanding satu kerusi di PRN Sarawak. Setiausaha PAS negeri, Arifiriazul Paijo, tewas di kerusi Beting Maro kepada calon PBB, Razaili Gapor, dengan majoriti 1,711 undi.

Walaupun tewas, Arifiriazul berjaya memperoleh 2,058 undi, jauh lebih banyak berbanding calon PKR, Abang Zulkifli Abang Engkeh, yang hanya mendapat 765 undi.

PAS tidak bertanding dalam PRN Sabah 2020. Bagaimanapun, parti itu memberi isyarat bahawa ia mungkin akan bertanding pada PRN tahun ini di bawah panji Perikatan Nasional.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah juga percaya rakyat Malaysia Timur akan menjauhi PAS jika hukuman sebat di khalayak untuk kesalahan syariah diperkenalkan.

Katanya, hukuman itu tidak selaras dengan latar belakang sosio-budaya Sabah dan Sarawak yang mengutamakan keterangkuman dan autonomi.

“Dasar seperti itu boleh dianggap tidak serasi dengan nilai dan cara pentadbiran kami. Hukuman awam berasaskan undang-undang agama boleh dilihat bercanggah dengan semangat keterangkuman.”

Minggu lalu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menyeru semua negeri supaya mencontohi Terengganu dengan memperkenalkan hukuman sebat terbuka untuk ‘menegakkan dan memuliakan undang-undang Islam’.

Bagaimanapun, dua aktivis Sarawak menolak cadangan itu secara tegas, menyifatkannya sebagai amalan kejam dan peninggalan peninggalan penjajah.

Tiada ulasan: