"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dadah disyaki punca 4 kematian dibeli di lokasi konsert

Pan Eu Joe

SHAH ALAM: Dadah dipercayai diambil empat pengunjung yang maut ketika konsert sambutan ambang tahun baharu Pinkfish disyaki dibeli dalam kawasan acara itu, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

“Dadah itu dipercayai dibawa masuk dan dibeli di lokasi acara tersebut,” kata Hussein dalam satu sidang media.

Semalam, beliau berkata empat mangsa berumur 20 hingga 40 tahun yang meninggal dunia itu dipercayai mengambil pil ecstasy, tetapi polis masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk pengesahan.

Katanya, polis akan memanggil penganjur dan pasukan pertolongan cemas yang ditempatkan di lokasi konsert untuk dirakam keterangan.

Setakat semalam, polis sudah merakam keterangan enam saksi. Polis dijangka mengambil keterangan beberapa individu lain termasuk rakan-rakan mangsa.

Hussein berkata, kes diklasifikasikan kematian mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau keracunan.

Sementara itu, Hussein berkata polis percaya teman lelaki remaja perempuan 15 tahun, Yap Xin Yuan yang mayatnya ditemui reput di Banting, Selangor pada Isnin lalu, terbabit dalam kematian mangsa.

Katanya, polis juga sedang menyiasat sama ada dua ahli keluarga lelaki itu turut terlibat dalam kes tersebut.

Dalam satu lagi kes berasingan, Hussein berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Klang Utara dan Shah Alam berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

Sindiket pengedaran dadah itu susulan kejayaan menangkap tiga suspek warga tempatan termasuk dua wanita dalam satu operasi pada 31 Dis dan 1 Jan lalu.

Katanya, polis turut meramas dadah jenis ecstasy, ganja dan syabu bernilai lebih RM1.08 juta dan merampas aset bernilai RM187,000.

Semua suspek direman hingga 8 Jan ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan: