"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bapa 3 anak mengaku tak salah sengaja cederakan mata demi tuntut insurans RM1 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganggur yang juga bapa tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan sengaja mencederakan mata kirinya untuk mendapatkan tuntutan insurans RM1 juta.

Tan Kok Guan, 52, membuat pengakuan itu di depan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Mengikut pertuduhan, Tan yang juga orang kurang upaya (OKU) dituduh cuba memohon tuntutan insurans kemalangan yang disyaki palsu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dalam percubaan itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan pada mata kirinya untuk mendapatkan pampasan insurans RM1 juta.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kampung Gajah, Kampung Paya, Butterworth antara 9 pagi hingga 6 petang 8 Jun 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreena Zainurin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Peguam Yaw Xinying memohon mahkamah menetapkan jaminan minimum kerana anak guamnya tidak bekerja dan menghidap beberapa penyakit kronik.

“Anak guam saya berusia 52 tahun dan tidak bekerja sejak 2023. Dia merupakan OKU buta pada mata kirinya. Semua perbelanjaan keluarga ditanggung isterinya. Dia juga menghidap penyakit jantung dan strok,” katanya menurut Sinar Harian sambil menambah tertuduh memberi kerjasama sepanjang siasatan.

Majistret menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Tan turut didakwa atas pertuduhan menipu sebuah syarikat insurans untuk membuat tuntutan insurans disyaki palsu.

Dia didakwa memperdayakan syarikat itu dan dengan curangnya mendorong syarikat terbabit memasukkan wang tunai RM4,153.57 ke akaun banknya di lokasi sama antara 9 pagi hingga 6 petang 20 Julai 2023.

Tan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda.

Timbalan pendakwa raya menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, majistret kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes ditangguh sehingga 20 Feb depan untuk semakan dokumen.

Tiada ulasan: