"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serang dan pukul janda, 5 wanita ditahan

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my

Tawau: Polis tahan lima wanita termasuk dua beranak selepas disyaki menyerang dan memukul seorang wanita di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mereka itu ditahan susulan laporan dibuat mangsa pada 4.41 petang semalam.

Menurutnya, mangsa dalam laporannya mendakwa kejadian berlaku pada 11 pagi dia mahu memasuki kenderaan sebelum mendapati empat tayar Proton X50 itu pancit.

"Tidak lama kemudian, dia didatangi oleh lima orang wanita yang tidak dikenali sebelum menyerang dan memukul pengadu hingga mengakibatkan dia mengalami beberapa kecederaan dan pendarahan di muka, belakang dan sebelah kiri kepala.

"Pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh abang mangsa yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu," katanya ketika di hubungi hari ini.

Jasmin berkata, mangsa juga turut mendakwa barang kemas miliknya iaitu seutas gelang tangan emas dan sepasang anting-anting dianggarkan bernilai RM4,000 hilang dipercayai diambil oleh seorang daripada suspek terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa berusia 36 tahun berstatus janda yang mempunyai seorang anak dan mengenali seorang lelaki yang tinggal sekampung sebelum menjalin hubungan sebagai pasangan kekasih lebih kurang sebulan.

"Punca kejadian disebabkan mangsa dituduh sebagai perampas suami orang. Bagaimanapun, mangsa mendakwa hanya mengetahui teman lelakinya itu masih bujang," katanya.

Sementara itu, Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan permohonan perintah tahanan reman oleh pegawai penyiasat Inspektor Robiatul Adawiyah Japri ke atas semua suspek sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: