Harapandaily
JAMZURI ARDANI
Apakah beliau menghalalkan pembunuhan dan fitnah atas dasar menentang sekularisma? Saya bimbang jika itu yang mungkin difahami oleh sebahagian pengikutnya yang taksub.
Nas tentang haramnya membunuh dan fitnah sangat jelas di dalam Al Quran dan hadis, tanpa perlu kepada sebarang takwilan dari manusia. Tidak ada alasan untuk menyatakan sebaliknya.
Adapun isu sekularisma tiada sandaran nas yang qathie dan masih tertakluk kepada perbezaan pandangan di kalangan umat Islam.
Sheikhul Azhar sendiri berpandangan bahawa Islam dan sekularisme boleh berjalan seiring selagi mana hak untuk seseorang mengamalkan ajaran agamanya tidak diganggu.
Pandangan yang sama pernah dikemukakan oleh Sheikh Ghannousi dan Presiden Erdogan. Tanpa menafikan pandangan yang ramai dari kalangan ulamak muktabar lain yang mengatakan sekularisme adalah secara jelas bertentangan dengan Islam seperti almarhum Sheikh Yusuf Qardhawi dan almarhum Abul Ala Maududi.
Tetapi, mengkafirkan mereka yang dituduh sebagai sekular adalah satu bentuk pemikiran takfiri yang keterlaluan.
Hj Hadi kata sekularisme adalah ‘syirik akbar’ yang secara mudahnya bermaksud kafir.
Tahukah beliau umat Islam di India sekarang sedang berjuang menuntut agar kerajaan India kembali kepada dasar-dasar pemerintahan sekular yang diasaskan oleh penjajah British sebelum ini supaya umat Islam mendapat pembelaan dan keadilan di negara tersebut dari penindasan kerajaan supremasis Hindu sekarang.
Bagi lebih 200 juta orang Islam India, dasar sekular itulah yang menjamin hak mereka untuk terus beramal dengan Islam.
Jadi, adakah umat Islam di India itu jadi kafir kerana memperjuangkan untuk mengembalikan dasar sekular di negara tersebut?
Atau adakah sekularisme hanya kafir di Malaysia, tetapi tidak di India, dan negara-negara lain seperti Turki dan Tunisia juga. Agak aneh pemikiran ini.
Seolah-olahnya mengikut fahaman Hj Hadi, manusia itu hanya terbahagi dua; menolak sekularisme atau beriman dengan sekularme. Satu Islam dan yang satu lagi kafir. Ini satu bentuk pemikiran binari yang merbahaya.
Padahal ada spektrum yang luas berkenaan pemahaman tentang isu ini yang berada di pertengahan antara keduanya.
Bagi kebanyakan umat Islam, tidak sukar untuk menilai bahawa ada banyak perkara dalam fahaman sekularisme itu yang bercanggah dengan Islam yang wajib ditolak.
Tetapi, kita tidak perlu pun beriman dengan sekularisme untuk memahami bahawa ada perkara-perkara tertentu di dalam amalan sistem sekular yang tidak bercanggah dengan agama.
Sekularisme itu hanyalah ideologi politik ciptaan manusia. Bukan sekularisme sahaja, ada banyak lagi ideologi ciptaan manusia. Demokrasi juga adalah satu bentuk ideologi politik hasil pemikiran manusia.
Sepertimana segala hasil ciptaan manusia di atas muka bumi, ada betul dan salahnya. Ada baik dan buruknya. Ada yang bercanggah dengan agama dan ada yang tidak bercanggah dengan agama.
Allah SWT mengurniakan kepada kita akal, maka gunakanlah akal yang Allah kurniakan ini untuk menilai antara yang baik dan buruk. Memilih yang baik dan menolak yang buruk. Bukan menerima secara borong atau menolak secara borong. Keduanya adalah sikap yang ghuluw.
Dalam konteks Malaysia, isu sekularisme bukanlah isu yang sepatutnya menjadi pemangkin kepada perpecahan, kebencian, dan permusuhan di kalangan rakyat.
Kita ada Ketua Agama, ada institusi agama dalam kerajaan, ada peruntukan ‘Agama Persekutuan’ di dalam perlembagaan. Sekular apanya?
Apa yang mungkin wujud hanyalah sifat tasamuh (berlapang dada) di dalam sistem pentadbiran negara dan urusan politik terhadap beberapa elemen yang dianggap ‘sekular’, tetapi tidak bersalahan pun secara mutlak dengan hukum Islam.
Jadi, menggunakan isu sekularisme untuk mengangkat agenda politik kelompok tertentu dan menggugat perpaduan rakyat di negara kita adalah tindakan politik desparado yang sangat memualkan.
Saya harap Hj Hadi tidak menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai alasan untuk mengkafirkan pihak lain. Agama ini milik Allah SWT, bukan milik mana-mana kelompok manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan