"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua anggota polis cedera dirempuh kereta dipandu wanita warga Singapura yang membawa dadah

Mary Victoria Dass
bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis cedera selepas terjatuh akibat dirempuh sebuah kereta dipandu wanita warga Singapura di kawasan Jalan Persiaran Alif Harmoni di sini tengah malam semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata kejadian berlaku ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan membuat pemantauan penugasan Ops Tapis di kawasan Jalan Tampoi, Taman Seri Bahagia, di sini.

Ketika itu, katanya polis mengesan sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna kelabu dipandu dalam keadaan mencurigakan dan mengekori rapat kenderaan itu sehingga ke kawasan Jalan Persiaran Alif Harmoni di sini.

Beliau berkata, ketika cuba menghampiri kenderaan suspek untuk pemeriksaan, kereta terbabit tiba-tiba dipandu secara merbahaya sehingga merempuh dua anggota polis menyebabkan kedua-duanya terjatuh dan cedera.

"Meskipun diarah berhenti, kenderaan terbabit terus dipandu laju menghala lebuh raya Pasir Gudang, sambil dikejar anggota sehingga ke Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar dan Lebuhraya Link Kedua.

"Ketika dikejar, suspek turut merempuh palang tol di kawasan plaza tol Senai Utara sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan menghala utara untuk mengelak ditangkap," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kereta peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan Kluang digerakkan untuk membantu sebelum kenderaan suspek akhirnya ditahan di kawasan Simpang Renggam di Kluang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kenreta itu dipandu wanita dipercayai warga Singapura berusia 38 tahun, dengan seorang penumpang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun ditahan.

"Pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah berbahaya dalam kenderaan.

"Bertindak atas maklumat tangkapan, dua serbuan berasingan dilakukan di kawasan Johor Bahru dengan polis merampas pelbagai jenis bahan disyaki dadah.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua tangkapan positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod mendapati lelaki warga tempatan mempunyai pelbagai rekod dadah dan jenayah serta satu rekod dikehendaki.

"Hasil operasi ini, polis merampas dadah dengan anggaran nilai keseluruhan RM54,831 termasuk ganja, syabu, serbuk ekstasi, heroin dan pil nitrazepam," katanya mengesahkan kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 5 Januari depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 307 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: