Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
Kajang: Tiga lelaki, termasuk teman lelaki remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 19 Disember lalu, ditahan polis selepas penemuan mayat reput di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga suspek berusia 16, 20, dan 51 tahun, membabitkan teman lelaki serta dua ahli keluarganya, yang ditahan semalam direman sehingga 5 Januari depan bagi membantu siasatan.
"Berikutan penemuan (mayat) ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengklasifikasikan semula siasatan kertas inkuiri orang hilang kepada siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein turut memaklumkan, mayat yang dijumpai di RTB Sungai Changgang sudah reput (decompose) dan tidak dapat dikenal pasti melalui pengecaman fizikal.
Menurutnya, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Banting dan pihaknya masih menunggu keputusan analisa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa.
Semalam, polis menemukan mayat reput di sebuah sungai di Banting, dekat sini, dipercayai mangsa pembunuhan dan ada kaitan dengan kes kehilangan Yap Xin Yuan, 15, di Kajang pada 19 Disember lalu.
Harian Metro sebelum ini melaporkan remaja perempuan dilapor itu dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.
Kali terakhir remaja itu dilihat di gelanggang bola keranjang terbabit berbaju tarian singa berwarna merah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan