FMT Reporters
Mangsa, Lim Inn Tong, 58, ditemui di bawah runtuhan dalam kejadian di Jalan Stampin Baru, Kuching, awal pagi tadi.
Keadaan rumah yang runtuh hingga mengorbankan penghuninya dalam kejadian di Kuching. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas rumah didiaminya runtuh dalam kejadian di Jalan Stampin Baru, Kuching, awal pagi tadi.
Mangsa, Lim Inn Tong, 58, ditemui di bawah runtuhan dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 pagi itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.50 pagi.
Katanya, mereka kemudiannya menggerakkan sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi yang terletak tujuh kilometer dari balai bomba.
“Sejurus tiba di lokasi, orang awam memaklumkan terdapat mangsa di dalam rumah setingkat jenis kekal itu.
“Anggota kemudian bertindak menggeledah runtuhan dan berjaya menemui seorang mangsa lelaki tidak sedarkan diri di bawah runtuhan,” katanya, menurut Berita Harian.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan pada 4.05 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di tempat kejadian.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan