Pas anggap UMNO ayam betina, siapa pula yang biawak tu!
Harapandaily
Kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari selepas UMNO membuat keputusan tidak menyertai perhimpunan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak telah menimbulkan banyak persoalan.
Sama seperti Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang lazim menggunakan pelbagai nama binatang sebagai perumpamaan, Ahmad Fadhli menyebut tentang ayam betina dan biawak dalam sindirannya.
“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban,” tulisnya di Facebook malam tadi.
Lontaran isi hati Fadhli itu dilihat susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa parti tersebut tidak meneruskan perhimpunan solidariti terhadap Najib Razak berhubung isu Titah Adendum pada Isnin, 6 Januari depan.
Meninjau ruangan komentar di hantaran Fadhli itu, rata-rata mempersoalkan sikap Pas yang beria-ia mengarahkan ahlinya berhimpun pada majlis ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari ini.
Lebih mengejutkan orang ramai apabila Pas tergamak menyebut tentang biawak sebagai perbandingan.
“Biadab MP Pasir Mas, cuba nak gambarkan siapa biawak tu,” kata Faizal Sharip.
“Fadhli Shaari sedang menggambarkan YDPA sebagai apa ni? Adakah Pas nak tunjuk penderhakaan yang melampau begini? Adakah ini akhlak yang Pas nak tunjuk pada rakyat? Pihak pendakwaraya perlu ambil tindakan segera. Ini memang melampau menyamakan YDPA dengan…,” tegas Mohd Hazim.
“Sapo sergah tu? Dalam konteks isu ni, ibaratnya yang sergah tu Istana, bakpo sanggup umpamakan dengan “BIAWAK”? Dasyat kenyataan ni,” ujar Irewan Shah Azizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan