Kadir Jasin
Wartawan veteran A Kadir Jasin melontarkan rasa hairan terhadap pihak yang didakwanya tergesa-gesa mahu hukuman terhadap Najib Razak diringankan.
Dia menegaskan bekas perdana menteri dan presiden Umno itu bukannya didapati bersalah atas tindakan mencuri Milo atau roti benggali.
Mengulas mengenai kenyataan Jabatan Peguam Negara mengenai pengampunan diraja dan kenyataan Istana Negara semalam, A Kadiir berkata, isu pengampunan menjadi heboh kerana banduan yang terlibat ialah Najib.
“Bagi yang sudah lupa atau tidak pernah tahu, Najib ini bukanlah dibicarakan main-main oleh ‘kangaroo court’. Dia pun bukan curi Milo atau roti bengali.
“Dia dibicarakan oleh sembilan orang hakim di tiga peringkat mahkamah. Seorang hakim di mahkamah tinggi, tiga orang hakim di Mahkamah Rayuan dan lima orang hakim di Mahkamah Persekutuan. Semua kata dia bersalah.
“Saksi pun bukan seorang dua tapi berpuluh-puluh orang. Kerajaan, melalui pendakwa raya, kemukakan 57 orang saksi manakala pihak Najib kemukakan 19 orang,” katanya di Facebook, hari ini.
Semalam Istana Negara mengeluarkan kenyataan meminta agar semua pihak menghormati perlembagaan negara dan undang-undang yang ditetapkan berhubung proses mendapatkan pengampunan atau kelegaan hukuman ke atas seseorang banduan.
Lindungi kewibawaan institusi negara
Kata Istana Negara, Agong ke-17, Sultan Ibrahim, bertitah agar seseorang banduan yang ingin mendapatkan pengampunan atau keringanan hukuman mesti mengemukakan sendiri permohonan tersebut.
Ia kemudian akan diputuskan oleh Agong berdasarkan kepada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan sendiri oleh baginda.
Kenyataan itu hadir ketika beberapa pihak antaranya Umno dan PAS mahu mengadakan himpunan solidariti bersama Najib pada 6 Jan nanti.
Mahkamah Rayuan dijadual mendengar permohonan Najib untuk menyemak ketetapan dibuat mahkamah tinggi mengenai titah tambahan dibuat Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Agong ke-16.
Umno bagaimanapun memilih untuk tidak meneruskan rancangan himpunan berkenaan, sebaliknya PAS menegaskan akan meneruskan himpunan tersebut.
A Kadir berkata, dia tidak faham mengapa ada pihak yang kelihatan tergesa-gesa dan jika boleh mahu agar Najib dibebaskan dengan segera.
Tambahnya, perbicaraan yang melibatkan Najib pun bukan sehari dua tetapi memakan masa berbulan-bulan sebelum dia didapati bersalah, dan pada masa sama ada isu lain yang perlu diutamakan.
“Keterangan saksi pendakwa mengambil masa 58 hari dan pembela 33 hari.
“Jadi minta maaflah kalau saya kata, saya tak faham pasal apa tergesa-gesa sangat nak ringankan hukuman dia, nak penjara dia di rumah malah, kalau boleh, nak bebaskan dia.
“Kita sepatutnya utamakan dan lindungi kewibawaan institusi-institusi utama negara seperti institusi raja, perlembagaan dan kehakiman,” jelasnya.
Dia turut menegaskan betapa berjuta-juta rakyat jelata memerkukan perhatian dan pembelaan dalam pelbagai hal, namun mengapa Najib seorang diberi keutamaan?
“Adakah kerana dia kaya dan keturunannya mulia?
“Mamat-mamat daripada segala parti politik dan pertubuhan hendak tuduh kerajaan Madani derhaka, boleh. Itu hak mereka. Tapi guna nama seorang banduan sebagai alasan adalah tidak masuk akal,” katanya.
Tokoh Wartawan Negara itu juga mengingatkan, mungkin ada ratusan orang terlibat dalam proses menyiasat, mendakwa dan mengadili Najib. Justeru, katanya, tidak dapat diterima akal jika semuanya berbohong untuk menganiaya ahli politik berkenaan.
"Takkan kita hendak dengar rintihan seorang banduan saja?
“Tak tahulah kalau pada zaman edan ini, kita sudah hilang kewarasan dan pertimbangan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan