"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dentuman kuat, takungan pecah kali ke-2 paling teruk

Bernama

Seorang penduduk Taman Sri Alam berkata kejadian benteng pecah itu pernah berlaku pada 2014.
Pihak berkuasa tempatan berkata 10 rumah terjejas teruk dengan pihaknya menasihati mangsa berpindah, namun penduduk memilih kekal di rumah memandangkan air telah surut. (Gambar Facebook)
SUNGAI BULOH: Penduduk terjejas akibat benteng takungan air Taman Sri Alam di Saujana Utama yang pecah petang tadi mendakwa terdengar dentuman kuat sebelum air melimpah deras memasuki rumah penduduk berhampiran.

Hafifi Saleh, 38, berkata sebelum kejadian dia berada di luar rumah berbual bersama rakan dan ketika itu hujan sudah berhenti.

“Ketika berbual saya mendengar dentuman kuat dan melihat benteng takungan air runtuh dan air mengalir deras memasuki rumah saya dan rumah jiran.

“Saya kemudian bersama isteri dan anak saya masuk ke dalam pacuan empat roda untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Bernama.

Hafifi yang bekerja sendiri, berkata dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan dalam rumahnya berikutan kejadian berlaku amat pantas dan air yang deras.

“Air masuk ke dalam rumah setinggi dua kaki…banyak perabot dan barangan rosak,” katanya.

Seorang lagi penduduk Samsudin Adun, 49, berkata kejadian petang tadi adalah yang kedua berlaku selepas kejadian pertama pada 2014, tetapi ketika itu tidak seteruk hari ini.

Ketika kejadian dia sekeluarga tiada di rumah dan hanya mengetahui perkara berkenaan melalui kumpulan WhatsApp taman berkenaan.

“Ada jiran maklumkan benteng takungan air di depan rumah telah runtuh dan berlaku banjir kilat, saya dan keluarga bergegas pulang dan mendapati rumah dimasuki air setinggi dua kaki bagaimanapun surut dalam 30 minit kemudian,” katanya.

Dia berharap pihak bertanggungjawab membaiki tembok berkenaan segera berikutan kawasan itu sering dilanda hujan lebat kerana Monsun Timur Laut.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 23 Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Maisarah Ismail, berkata pihaknya akan membina benteng penghadang sementara di kawasan runtuhan bagi mengelakkan limpahan air berlaku lagi jika hujan lebat.

Beliau berkata dianggarkan 10 rumah terjejas teruk dan pihaknya telah menasihati mangsa untuk berpindah tetapi penduduk memilih kekal berada di rumah memandangkan air sudah surut dan mereka boleh melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Kerja-kerja membersihkan rumah yang terjejas dan sisa runtuhan akan dilakukan malam ini juga sebelum kerja membina benteng penghadang sementara dibuat,” katanya.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang.

Benteng berkenaan pecah menyebabkan air melimpah ke seluruh taman perumahan itu, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Tiada ulasan: