"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas mengapikan sentimen agama demi kepentingan politik sempit

Harapandaily

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor menolak sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Pas bahawa DAP mengancam Islam dan berniat untuk menyebarkan agama Kristian di Malaysia.

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Selangor, Muzammil Hafiz berkata, tuduhan tersebut jelas berniat untuk mengapi-apikan sentimen agama demi kepentingan politik sempit dan tidak membawa manfaat kepada perpaduan masyarakat.

“Tuduhan ini sebenarnya menyasarkan semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Perpaduan.

“Justeru, AMANAH terpanggil untuk mempertahankan dirinya yang turut menjadi sasaran tuduhan liar Pas yang sentiasa mahu mencari laba politik,” katanya menurut kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, AMANAH berpandangan, Pas seharusnya mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan masyarakat bukan Islam.

“Dalam menerima sebarang berita, perlunya Pas bersikap tabayyun dan menyemak fakta sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan.

“AMANAH juga mengingatkan Pas bahawa Rasulullah SAW bertindak seadil-adilnya kepada semua pihak termasuk yang pernah menjadi musuh,” ujarnya.

Dalam masa sama, Muzammil berkata, AMANAH mengingatkan Pas bahawa Malaysia adalah
sebuah negara yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi.

Namun, jelasnya, prinsip kebebasan beragama juga dijamin dan wajib dihormati oleh semua pihak.

“Sebarang dakwaan bahawa wujudnya usaha untuk berdakwah kepada umat Islam oleh mana-mana pihak dalam kerajaan hari ini termasuk DAP adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, AMANAH juga ingin menegaskan bahawa tindakan salah seorang menteri DAP yang menganjurkan majlis nyanyian lagu-lagu Kristian di sebuah kementerian adalah sesuatu yang sepatutnya dielakkan.

“Kami menyeru agar DAP dan semua pihak lebih berhati-hati dalam mengambil langkah-langkah yang boleh menimbulkan sensitiviti dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama dan budaya.

“Sebagai sebuah negara yang mengangkat konsep “Truly Asia” dan meraikan kepelbagaian, kita semua harus berusaha memastikan keharmonian agama di Malaysia dipupuk berdasarkan nilai-nilai budaya dan kesopanan yang sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi,” tegasnya.

Justeru, AMANAH menyeru semua pihak untuk bersama-sama menjaga hubungan baik antara agama dan tidak membiarkan sebarang provokasi memecah-belahkan rakyat.

“Kami akan terus komited untuk memastikan nilai Islam yang syumul, yang mengangkat rahmat untuk sekalian alam (Rahmatan Lil Alamin), menjadi asas kepada pentadbiran negara yang adil dan inklusif serta Madani,” kata Muzammil lagi.

Tiada ulasan: