Adie Sufian Zulkefli
Maritim Malaysia tahan 196 Rohingya mendarat di Langkawi, ratusan lagi masih di laut
Semua PATI terbabit ditahan selepas bot mereka terkandas di Pantai Teluk Yu di sini, awal pagi Jumaat. - Gambar/ Maritim Malaysia
LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 196 pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya dari Myammar selepas bot yang membawa mereka terkandas di Pantai Teluk Yu di sini, awal pagi Jumaat.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, susulan penahanan jam 3.25 pagi itu, pihaknya menerima maklumat terdapat dua lagi bot sarat dengan PATI menuju ke pulau peranginan itu.
“Berdasarkan maklumat yang diterima pihak Maritim Malaysia, terdapat dua lagi bot yang dipercayai membawa PATI Myammar berada di laut namun lokasi sebenar masih belum dapat dikenal pasti.
“Maritim Malaysia telah menggerakkan bot dan kapal ke lokasi pendaratan, membuat rondaan di sekitar perairan utara Langkawi serta di kawasan sempadan negara dan mengatur gerak pesawat udara bagi melaksanakan pemantauan udara serta meningkatkan lagi pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan bot membawa PATI berkenaan.
“Bukan itu sahaja, Maritim Malaysia turut berhubung dengan pihak penguat kuasa Thailand untuk bersiap sedia mengawasi pergerakan dua bot yang membawa PATI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosli dalam pada itu, meminta komuniti maritim sekitar Langkawi untuk menyalurkan maklumat segera ke talian 999 atau hubungi Maritim Rescue Sub Centre (MSRC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868 jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan